Kelantan Tanam Eucalyptus Tingkat Hasil Negeri

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

GUA MUSANG – Kerajaan Negeri Kelantan hari ini memulakan projek perintis tanaman pokok balak jenis Eucalyptus sebagai sumber bekalan baharu dalam sektor perkayuan di negeri ini.

Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata pokok jenis itu ditanam bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu negara dapat mengekalkan kawasan hutan simpan kekal sebanyak 52 peratus.

“Untuk projek ini, kerajaan negeri memperuntukkan kawasan seluas 30 hektar di Hutan Simpan Beris, Lojing di sini, yang mampu ditanam dengan 2,500 batang pokok bagi setiap satu hektar kawasan.

Ia mampu dituai dalam tempoh sekurang-kurangnya tujuh tahun dan pokok jenis berkenaan juga boleh mencapai saiz purata sekitar diameter 23 sentimeter dan tinggi 21 meter,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Petak Kajian Pokok Eucalyptus di Hutan Simpan Beris, Lojing di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah Perhutanan Kelantan, Datuk Zahari Ibrahim.

Ahmad berkata setiap batang pokok berkenaan boleh dijual dengan harga RM150 sebatang sekali gus akan memberi hasil lumayan kepada kerajaan negeri yang bergantung hampir sepenuhnya terhadap aktiviti pembalakan.

“Kita jangkakan kerajaan negeri mampu mengutip hasil sebanyak RM300,000 bagi setiap hektar tanaman tersebut,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Tags: