Bukan Berita Online Biasa

Labbaikallah: Keajaiban Kaabah Dan Migrasi Artis

Labbaikallah: Keajaiban Kaabah Dan Migrasi Artis

in Alhijrah Frenz/Artis/Utama & Sensasi

SELAMA tiga malam penonton berkongsi kisah pengalaman mistikal yang penuh keajaiban tiga artis popular. Semuanya melalui pengalaman mistik dan fenomenal yang tersendiri ketika berada di depan Kaabah.

Susuk artis selalu disensasikan dalam dunia hiburan. Malah, dunia hiburan seperti mesin tebu yang memerahkan seluruh sensasi artis apabila berpeluang.

Menjadikan profil artis seperti sudut terang yang hanya dipenuhi cahaya glamor.

Akhirnya, artis juga hamba Allah. Diberikan sudut paling tersembunyi dalam hati masing-masing sebagai manusia. Walaupun ruang paling misteri ini dianggap sangat tersembunyi, namun artis juga manusia biasa.

Sudut hati paling tersembunyi ini pasti dikongsi kalau kena gayanya.

Itulah tuah yang diperolehi program Labbaikallah, program khas musim haji terbitan TV AlHijrah.

Labbaikallah: Keajaiban Kaabah Dan Migrasi Artis

Bemula dengan penampilan Afdlin Shauki pada 6 September, diikuti Datuk Siti Nurhaliza Taruddin pada 7 September serta Datuk Rosyam Nor pada 8 September, Labbaikallah berkongsi pengalaman mistik yang fenomenal bersama jutaan penonton.

Kisah fenomenal dalam perjalanan umrah dan haji, tiga artis terkenal ketika berada depan Kaabah.

Dari si tegap yang comel serta kelakar macam Afdlin Shauki, si cantik manis dan kaya-raya seperti Siti Nurhaliza sampailah kepada hero Malaya Datuk Rosyam… cerita mengenai Kaabah adalah kisah air mata.

Afdlin menceritakan pengalaman air mata serta rasa sayunya ketika pertama kali bertawaf. Betapa selama hidupnya, detik itulah terasa saat diri benar-benar sempurna menjadi seorang hamba Allah yang kerdil.

Siti Nurhaliza tidak kurang hebatnya. Pertama kali diceritakan kisah dirinya terasa berdepan malam Lailatulqadar ketika menjalankan ibadah umrah pada sepuluh Ramadan terakhir beberapa tahun lalu.

Rosyam yang terkenal ganas dalam KL Gangster, turut bergenang air mata menceritakan usaha dirinya mengenal Al-Quran dan niatnya berkhatam di depan Kaabah. Akhirnya, hero Malaya ini melakukannya pada usia 45 tahun.

Keajaiban boleh berada di mana-mana. Tanda betapa subur kasih-sayang Allah pada hambanya.

Artis sering dikaitkan dengan wajah dunia dan cahaya glamor. Tetapi berkongsi pengalaman hebat mereka di Kaabah, menjadikan kita pula yang insaf.

Kita boleh sahaja menggunakan apa juga cara untuk mengurang atau melebihkan taraf seseorang manusia. Tetapi Allah berkuasa. Kasih sayangnya Allah melimpah-ruah. Maka kasih sayang itulah yang dinikmati Afdlin, Siti Nurhaliza dan Rosyam.

Ingat. Allah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. – MYNEWSHUB.CC

Loading...
Tags:

Terkini dari Alhijrah Frenz

Go to Top