Bukan Berita Online Biasa

Lemang Periuk Kera Kak Tah Dapat Permintaan Tinggi

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

SETIU – Kebiasaannya dahulu lemang periuk kera hanya dihidangkan ketika musim perayaan Aidilfitri atau majlis-majlis tertentu namun kini ia hampir setiap hari boleh didapati di mana-mana, sama ada ditempah khas atau dijual di pasar tani atau pasar malam.

Bagi seorang peniaga di pasar tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu, Khairil Bariah Razali, 48, atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Tah, pada mulanya hanya mahu menjual rendang daging hitam dan sambal goreng belacan buatannya namun terfikir menu sesuai yang boleh dipadankan dengan rendangnya itu.

“Nak bakar lemang rasa tidak mampu, jadi dari situ saya dapat idea untuk hasilkan lemang periuk kera memandangkan permintaan agak tinggi di pasaran dan sarungnya (periuk kera) juga mudah didapati di sekitar rumah di Kampung Pelong ini.

“Alhamdulillah, walaupun baru sebulan menjualnya di pasar tani Hiliran, sambutan yang diterima daripada pelanggan amat memberangsangkan, malah turut menerima tempahan untuk majlis agensi kerajaan dan kenduri jiran-jiran berdekatan, ” katanya ketika ditemui Bernama.

Sebagai ibu tunggal yang mempunyai enam anak dalam lingkungan lapan hingga 20 tahun, ia meniupkan semangatnya untuk terus berniaga mencari nafkah mereka sekeluarga meskipun terpaksa bangun seawal 4 pagi untuk menghasilkan lemang berkenaan.

“Penyediaannya tidaklah serumit menghasilkan lemang buluh, tapi proses yang paling sukar adalah mencari sarung periuk kera dan mencucinya sebelum proses mengukus lemang…Alhamdulillah anak-anak turut sama membantu,” kata Kak Tah.

Setiap hari tiga anak perempuannya — Aslah, Qistina dan Wawa, akan bersama-samanya masuk ke kawasan semak mencari sarung periuk kera kira-kira 500 meter dari rumahnya sebaik pulang dari sekolah.

“Selepas sarung dikutip, ia akan dibersihkan bagi membuang kotoran sebelum disimpan di dalam bekas. Kemudian beras pulut yang direndam akan dimasukkan dengan berhati-hati sebelum dicampur santan, garam serta sedikit gula dan dikukus,” katanya.

Katanya, lemang yang sudah siap akan dibungkus dan dijual berasingan dengan rendang yang dimasaknya. Untuk sebekas yang mengandungi lapan hingga 10 ketul lemang dijual RM8 manakala rendang daging hitam dan sambal goreng belacan dijual RM5 satu bekas.

Ditanya keistimewaan rendang daging hitamnya, Kak Tah yang berasal dari Grik, Perak berkata ia menggunakan resepi asal ibunya di mana ia tidak menggunakan santan dan hanya meggunakan kerisik kelapa.

“Ia juga tahan lebih lama jika dipanaskan semula selepas disejukbekukan, rasanya juga kekal seperti rendang yang baru dimasak,” katanya.

Selain menjual lemang periuk kera dan rendang, Kak Tah juga menghasilkan rempeyek dalam empat perisa iaitu kacang tanah, kacang dhal, ikan bilis dan kacang hijau dan turut dijual di pasar tani Hiliran.

Tanpa menyebut berapakah pendapatan yang diperoleh hasil menjual lemang dan rempeyek, beliau bersyukur kerana mampu menanggung keperluan mereka sekeluarga dan berdoa semoga terus dikurniakan tubuh badan yang sihat untuk mencari nafkah buat mereka sekeluarga.

“Dengan cara begini sahaja saya boleh membesarkan anak-anak. Buat masa ini saya juga menerima tempahan bagi rempeyek dan lemang periuk kera.

“Tapi bagi lemang periuk kera saya mengehadkan tempahan hanya 50 biji sehari atau bergantung kepada sarung yang diperoleh.

“Mana-mana pihak yang berminat untuk membuat tempahan boleh hubungi saya di talian 013-9402447 atau datang sendiri ke Pasar Malam KT Walk (setiap malam Jumaat) dan Pasar Tani Hiliran (setiap Khamis dan Sabtu) ,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top