Bukan Berita Online Biasa

Mahkamah Putus Saman Parkir Kereta MBPP Tidak Sah

Mahkamah Putus Saman Parkir MBPP Tidak Sah

in Jenayah/Utama & Sensasi

GEORGE TOWN – Mahkamah Khas Trafik di sini hari ini melepas dan membebaskan peguam daripada pertuduhan meletak kereta di luar petak di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, di sini tiga tahun lepas.

Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid memerintahkan V. S Raveentharan, 57, malah dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

Mohamad Amin membuat keputusan itu selepas memutuskan pihak pendakwaan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.

“Dalam satu kes saman OKS (Orang Kena Saman) tidak dimaklumkan atas kesalahan dan tidak dibenarkan membuat representasi semasa saman dikeluarkan. Alasan yang diberikan oleh pihak pendakwaan juga tidak dijelaskan,” katanya.

Raveentharan didakwa meletak kereta di luar petak di dalam kawasan bidang kuasa MBPP di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah, di sini pada 10.30 pagi, 11 Mac 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Artikel 5(1) Pengangkutan Jalan (Tempat Letak Kereta) MBPP 2014 dan boleh dihukum di bawah Artikel 50 Perintah sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa MBPP, Noorazrein Norazlan Ong dan tertuduh diwakili peguam Baljit Singh.

Sementara itu, Baljit ketika ditemui di luar mahkamah berkata rakyat Pulau Pinang mempunyai hak untuk mencabar saman yang dikeluarkan MBPP di mahkamah atas alasan teknikal.

“Berdasarkan keputusan hari ini, MBPP tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan saman seperti mana mereka sedang keluarkan pada masa ini.

“Oleh itu, rakyat Pulau Pinang yang pernah dikenakan saman oleh MBPP sebenarnya mempunyai hak mereka, boleh ketengahkan kepada MBPP.

“Ini terpulanglah kepada seseorang itu kalau mereka hendak mencabar di mahkamah atau tidak. Mahkamah telah memutuskan dahulu bahawa saman MBPP boleh dicabar dan tidak sah di Pulau Pinang atas sebab teknikal,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top