Bukan Berita Online Biasa

Mat Saleh Nikah Gadis Melayu Jadi Drebar Bas Singapura

Mat Saleh Nikah Gadis Melayu Jadi Drebar Bas

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

SINGAPURA – Mungkin ada akan terkebil-kebil seketika apabila menaiki bas awam SBS Transit di sini dan melihat pemandunya seorang lelaki berkulit putih atau lazim disebut sebagai ‘mat saleh’.

Sebenarnya ini bukan penggambaran drama tetapi memang benar. Mat Saleh dimaksudkan itu ialah Daniel Ellis yang sudah bertugas sebagai pemandu bas nombor 27, dari pusat pertukaran Hougang Central, sejak tiga bulan lalu.

Dalam industri yang biasanya didominasi rakyat tempatan atau warga asing yang kebanyakannya dari Malaysia, China dan India, Ellis, 34, memang menarik perhatian ramai penumpang yang menaiki bas dipandu oleh beliau.

“Sebenarnya, sesetengah penumpang sengaja menunggu bas saya supaya mereka dapat menaiki bas yang saya pandu kerana mereka mungkin mahu menikmati perjalanan bas bersama saya,” kata beliau sambil tersenyum.

Ellis merupakan salah seorang daripada sekitar 20,000 warga baharu yang mengangkat sumpah untuk menjadi rakyat Singapura setiap tahun. Kehadiran beliau, menambahkan lagi aspek kerencaman hidup di negara ini.

Dilahirkan di Afrika Selatan, Ellis datang ke Singapura pada 2009 lalu untuk bertemu dengan seorang gadis Melayu Islam yang sebelum itu sering berhubungan dengannya secara talian sahaja. Mereka bernikah pada tahun 2011.

Beliau kemudian secara rasmi menjadi rakyat Singapura lebih dua tahun lalu. Ellis ketika mengimbas kembali pengalaman bagaimana beliau kagum dengan budaya dan kemudahan awam untuk ke mana-mana Singapura.

Lebih-lebih lagi bagi beliau sebagai seorang warga asing yang hanya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris. Justeru, tidak sukar untuk beliau membuat keputusan untuk terus menetap di Singapura hampir sedekad lalu.

“Memang saya mahu hidup di Timur, tetapi sebab utama adalah saya mahu terus berada di sini, dapat membina kehidupan bersama isteri. Kami pernah berbincang sama ada mahu menetap di sini atau di Afrika Selatan.

“Akhirnya kami memilih Singapura. Singapura adalah sebuah negara yang indah untuk kami tinggal,” kata beliau. Namun tindakan itu juga bermakna beliau terpaksa melepaskan kerakyatan dirinya sebagai warga Afrika Selatan.

Bagaimanapun menurut Ellis warisan beliau akan sentiasa menjadi sebahagian daripada dirinya. “Ia tidak akan hilang,” tambah beliau yang kemudian perlu mencari kerja baharu demi menyara hidup beliau dan isteri.

Ironi ia bukan sesuatu yang mudah kerana tidak banyak syarikat mengiktiraf kelayakan dari Afrika Selatan. Beliau memutuskan untuk memohon kerja sebagai pemandu bas, sebahagian besarnya disebabkan kestabilan ditawarkan.

“Mulanya, saya hanya lihat tugas ini sebagai satu pekerjaan biasa. Tetapi kini semakin banyak saya belajar tentang sistem dan bagaimana semua diurus, saya makin menghargainya malah kagum dengan tahap kecanggihannya.”

Pada awalnya rakan-rakan sekerja turut mempersoalkan pilihan beliau itu – memandangkan ‘orang putih’ biasanya hanya mahu jadi pekerja kolar putih. Malah, Ellis merupakan staf ‘mat saleh’ yang pertama sebagai pemandu bas.

“Kebanyakan mereka mahu tahu mengapa saya memilih untuk menjadi pemandu bas? Saya tanyakan kembali soalan yang sama kepada mereka dan mereka menjawab, ‘saya hanya perlukan kerja untuk membayar bil’.

“Jadi, sama juga bagi diri saya. Kita semua sama kan? Apabila terdapat persamaan itu antara kami, keadaan lebih mudah selepas itu,” ujarnya yang juga lebih banyak menerima soalan daripada penumpang, tentang asal usulnya.

Ini termasuk sama ada beliau benar-benar rakyat Singapura dan ibu bapa beliau berasal dari mana. Jelas Ellis: “Saya faham bahawa mereka mungkin sedang mencuba untuk memahami perkara-perkara asas tentang diri saya.

“Pemandu bas jarang interaksi dengan penumpang, namun disebabkan mereka terkejut apabila menaiki bas saya, mereka mahu berinteraksi. Saya membenarkannya asalkan ia tidak mengganggu khidmat bas atau tumpuan saya.

“Tetapi masyarakat secara amnya mesra,” kata Ellis. Beliau yang ditemui stesen Channel NewsAsia malah sudah menerima lapan pujian sejak tiga bulan lalu daripada penumpang yang menghargai khidmat diberikan beliau.

Ellis – yang menggemari minuman tempatan kopi-o panas dan makan nasi ayam – bagaimanapun mengakui memang “sentiasa ada ketegangan yang tersembunyi” antara rakyat Singapura dengan warga asing.

Semasa menetap bersama keluarga mertua di Eunos, beliau ada terlihat tulisan: “Baliklah (negara asal) warga asing dan FT (bakat asing)” diconteng di tembok blok flat awam HDB, meskipun ia bukan disasarkan khusus kepadanya.

Walaupun belum pernah ada orang yang bertindak agresif terhadap beliau sebagai seorang warga asing, Ellis pernah melihat insiden sedemikian berlaku kepada orang lain. Pada ketika itu beliau dan isteri sedang berjalan di Punggol

Mereka terdengar seorang remaja tempatan menjerit “Baliklah (ke negara kamu) Bangla (warga Bangladesh), apa yang kamu buat di sini?” terhadap seorang lelaki rakyat asing yang kebetulan sedang menunggang motosikal.

“Saya dan isteri berkata ‘Usianya masih muda tetapi sudah berkelakukan begitu’. Ellis termasuk dalam kategori kaum ‘Others’ atau lain-lain yang makin meningkat di Singapura, 3.2 peratus daripada keseluruhan penduduk.”

Latar belakang mereka dalam kategori ini sudah banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2000, kumpulan Serani (Eurasian) mendahului senarai, diikuti oleh Kaukasia (Caucasian) dan Arab.

Hari ini, tiga kumpulan dengan angka tertinggi dalam senarai Others itu ialah Filipina, Kaukasia dan ‘lain-lain’ yang juga termasuk Vietnam, Myanmar and Afrika. Serani sudah kurang separuh kepada 13 peratus atau 17,000 orang.

Kepada warga baharu, Ellis menyarankan supaya mereka berusaha untuk membuat kawan, memahami apa yang dimahukan rakyat Singapura dan bagaimana mereka boleh hidup. “Cuba berfikiran terbuka,” nasihat beliau.

“Ada satu lagi perkara yang menyatukan semua – makanan. Jika anda belajar tentang apa disukai orang lain, apa mereka tidak suka, anda boleh berkongsi sambil menikmati secawan kopi, memakan laksa atau mi sup Vietnam.

“Ia sesuatu yang menghubungkan kita,” kata Ellis yang turut mendedahkan pada awalnya tidak suka bau durian, namun beliau belajar untuk menerima keenakan raja buah tersebut pada akhirnya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top