Bukan Berita Online Biasa

Misi KE7B Berjaya Tawan Kutub Utara Lebih Awal

Misi KE7B Berjaya Tawan Kutub Utara Lebih Awal

in Gaya Hidup/Slider/Utama & Sensasi

TIGA penjelajah negara Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017, berjaya menamatkan misi ke Titik 90 Darjah Utara pukul 5.06 petang semalam waktu Kutub Utara (11.06 malam Khamis waktu Malaysia).

Menurut Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd. Yusof, kejayaan menamatkan misi itu dimaklumkan Ketua Penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin menerusi panggilan telefon satelit malam tadi.

Dua orang lagi penjelajah lain yang turut bersama-sama dengan Qobin ialah atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana negara kita sekali lagi mencatat sejarah dengan kejayaan Qobin, Shahrom dan Irwan yang berjaya bukan sahaja memahatkan nama mereka sebagai Penjelajah Kutub Utara.

“Malah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, kerana mereka bertiga membawa nama negara dan berski di Kutub Utara bersama-sama dengan beberapa orang lagi penjelajah dari negara lain.

“Ini termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada,” kata Akmar Hisham menerusi satu kenyataan kepada media di stesen Longyearbyen, Svalbard, Norway pada Jumaat.

Berdasarkan perancangan, Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 akan membabitkan penjelajahan berski dengan menarik beban kereta luncur salji (sledge) sejauh 111 kilometer yang memakan masa selama 11 hari.

Ia bermula dari Stesen Barneo ke Titik 90 Darjah Kutub Utara. Bagaimanapun, ketiga-tiga penjelajah negara itu berjaya menamatkan misi mereka  dalam tempoh enam hari sahaja iaitu lima hari lebih awal daripada jadual.

Misi KE7B Berjaya Tawan Kutub Utara Lebih Awal

Misi KE7B Berjaya Tawan Kutub Utara Lebih Awal

Lebih manis lagi jelas Akmar Hisham, kejayaan menamatkan penjelajahan hari ini juga merupakan hadiah cukup bermakna kepada Qobin kerana beliau menyambut hari ulang tahun kelahirannya ke-35  pada tarikh 20 April 2017.

Tambahnya, beliau dimaklumkan oleh Qobin yang juga Presiden KE7B, bahawa baki lagi tiga kilometer terakhir menuju ke titik 90 darjah, penjelajahan mereka disifatkan sebagai paling mencabar.

Ini kerana mereka terpaksa berdepan dengan rekahan ais yang agak lebar dan menyebabkan kesemua penjelajah terpaksa berusaha keras untuk menyeberangi rekahan tersebut.

Selain itu tambah beliau, penjelajahan mereka pada hari ketiga diganggu oleh seekor beruang kutub yang menghampiri khemah salah satu kumpulan lain dan menyebabkan mereka terpaksa berjaga setiap masa.

Qobin juga menceritakan beberapa lagi detik cemas berkenaan halangan-halangan yang mereka tempuhi sepanjang penjelajahan misi tersebut.

Antaranya terlalu banyak bongkah-bongkah ais yang pecah dan memaksa mereka berulang kali mengangkat sledge dan berdepan risiko terjatuh ke dalam air laut ais kerana ketebalan ais hanya antara 3 hingga 4 meter.

Perjalanan mereka juga menjadi lambat berikutan kawasan laluan mereka mula mencair sehingga menyebabkan ada antara bahagian ais terpisah oleh air laut sehingga 30 meter jaraknya.

Disebabkan itu mereka perlu mencari laluan alternatif sejauh kira-kira lapan batu untuk mengelakkan laut yang mula mencair untuk sampai ke garisan penamat.

Sebaik menamatkan penjelajahan itu, semua penjelajah diterbangkan balik dengan sebuah helikopter dari titik 90 Darjah Kutub Utara ke Stesen Barneo yang mengambil masa penerbangan selama kira-kira 35 minit.

“Saya juga dimaklumkan oleh Qobin yang mereka perlu segera keluar dari Stesen Barneo dengan penerbangan khas ke Longyearbyen, Norway memandangkan landasan terbang ais di stesen itu sudah mula retak dan cair.”

Kumpulan penjelajah negara itu sebelum ini berlepas ke Oslo, Norway pada 4 April sebelum berpangkalan di Longyearbyen selama seminggu bersama pasukan sokongan yang diketuai oleh Akmar Hisham sendiri.

Ia turut disertai beberapa wakil media tempatan dari stesen TV3 dan kumpulan NSTP. Ketiga-tiga mereka kemudian memulakan misi penjelajahan berski dari Stesen Barneo di Kutub Utara ke Titik 90 Darjah itu pada 14 April lalu.

“Apa lebih penting ialah tiga penjelajah selamat dan berada dalam keadaan sihat sepenuhnya sepanjang misi meskipun berdepan cabaran cuaca sejuk ekstrem hingga cecah negatif 40 darjah Celsius,” tegas Akmar Hisham lagi.

Sepanjang ekspedisi itu, mereka berski sambil tarik kereta luncur salji yang mengandungi barang-barang keperluan seperti peralatan khemah, bekalan makanan dan pelbagai peralatan yang dianggarkan seberat 50 kilogram.

Titik 90 Darjah Kutub Utara merupakan titik paling utara di bumi. Ia terletak di latitud 90 darjah utara malah semua garisan longitud bertemu pada titik itu dan di kedudukan itu, setiap arah seseorang menghadap adalah selatan.

Ekspedisi itu merupakan aktiviti keenam KE7B selepas Ekspedisi KE7B Tujuh Puncak Tujuh Benua 2010, Ekspedisi KE7B Renangan Perpaduan Selat Inggeris 2012, Ekspedisi KE7B Felda Everest 2013, Ekspedisi KE7B Merentas Greenland 2014 dan Ekspedisi Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top