Bukan Berita Online Biasa

Najib Bersikap Terbuka Selesai Saman Tony Pua

in Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersikap terbuka untuk menyelesaikan samannya terhadap anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berhubung rakaman video berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355, jika penyelesaian itu berbaloi.

“Anak guam saya (Najib) bersikap terbuka untuk sebarang tawaran penyelesaian namun ia perlu berbaloi kerana ia adalah saman fitnah dan semasa melihat fakta-fakta yang boleh dan tidak boleh disepakati, kedua-dua pihak mungkin mahu mencari penyelesaian,” kata peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun kepada pemberita.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab, telah memerintahkan kedua-dua pihak untuk melakukan lebih banyak analisis mengenai rayuan, pernyataan tuntutan dan pembelaan untuk mencari fakta-fakta yang boleh dipersetujui dan yang tidak dapat dipersetujui.

“Sebab kenapa hakim mahu kami melakukan sedemikian kerana beliau (hakim) mahu kami meringkaskan perbicaraan daripada membiarkannya berpanjangan,” katanya kepada pemberita selepas perkara itu dibawa untuk pengurusan kes di dalam kamar hari ini.

Mohd Hafarizam berkata hakim juga meminta agar kedua-dua peguam untuk duduk berbincang dan bukan hanya melalui faks atau e-mel untuk melihat jika kedua-dua pihak boleh bersetuju dengan fakta-fakta atau boleh bersetuju untuk penyelesaian.

Mohd Hafarizam berkata mahkamah menetapkan 13 Okt untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 21 April, Najib menyaman Pua atas kapasiti peribadinya dengan mendakwa bahawa pada 6 April di lobi Bangunan Parlimen, Pua mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap beliau dalam rakaman video berhubung pembentangan RUU355.

Dalam pernyataan tuntutannya, perdana menteri mendakwa kip video yang dimuat naik oleh Pua atau ejennya di laman Facebook rasmi defendan, selama dua minit dan 21 saat bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill,” (kerajaan BN mengetepikan semua rang undang-undang untuk memberi keutamaan kepada rang undang-undang persendirian RUU355 PAS) boleh diakses secara meluas dan bebas di Internet.

Najib juga mendakwa rakaman video mengandungi perkataan yang khusus dirujuk kepadanya dan membawa maksud bahawa beliau menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan arahan melalui Kabinet kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memberi laluan kepada anggota Parlimen dari Marang untuk membentangkan rang undang-undang persendirian dan mengetepikan rang undang-undang lain.

Pada 4 Ogos, Najib memperoleh perintah sementara untuk menghalang Pua daripada memuat naik sebarang kenyataan fitnah atau klip video terhadap beliau. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top