Bukan Berita Online Biasa

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

PAS Tolak PH, Tiada Kerjasama Dengan UMNO

in Politik/Utama & Sensasi

KOTA BHARU – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu tidak akan menyertai Pakatan Harapan sebaliknya sedang memperkasakan blok pembangkang ketiga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata ada pihak tertentu dalam Pakatan Harapan cuba menimbulkan isu kerjasama PAS dan UMNO, yang maklumat itu sebenarnya tidak tepat, dengan harapan PAS menyertai pakatan tersebut.

“Mereka berharap PAS menyertai Pakatan Harapan namun, kita tidak akan bersama Pakatan Harapan.

“Ini kerana prinsip-prinsip yang dibawa oleh PAS sering kali ditentang oleh beberapa kumpulan dalam pakatan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim juga membidas pemimpin tertentu dalam Pakatan Harapan yang menuduh PAS bekerjasama dengan UMNO untuk menghadapi PRU14 termasuk berhubung pengagihan kerusi untuk ditandingi.

“Sebagai pemimpin, kalau kita percaya dengan maklumat yang dikutip di tepi jalan maka, tidak layaklah menjadi pemimpin.

“Sepatutnya mereka mendapatkan maklumat yang betul,” katanya sambil menegaskan bahawa PAS tidak menjalin sebarang kerjasama politik dengan UMNO. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top