Bukan Berita Online Biasa

Pelanggan Dakwa McDonalds 'Jual' Milo Lipas

Pelanggan Dakwa McDonalds ‘Jual’ Milo Lipas

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

HASRAT dua rakan sekerja menikmati makanan tengah hari di restoran McDonald’s di sebuah pasar raya besar di Seremban, Negeri Sembilan terbantut apabila menemui lipas di dalam minuman mereka.

Menerusi laman Facebook, Kartini Bakar menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila membuat pesanan di restoran makanan segera popular itu berdasarkan pengalaman dirinya sendiri.

“Berhati-hati bila order dan minum air hot milo di McDonald’s, sila buka penutup sebelum minum kerana benda ni terjadi pada saya serta rakan saya Nurul Faiqah waktu lunch di McDonald Seremban 2, tengah hari tadi, terdapat lipas seperti dalam gambar ni,” tulisnya.

Dia turut memuat naik gambar makanan dan minuman yang dipesan menerusi laman sosial dan jelas kelihatan ada bangkai lipas dalam minuman milo panasnya.

Kartini turut mempersoalkan tahap kebersihan di restoran tersebut dan jelas ianya sungguh kotor.

“Di manakah letaknya keutamaan kebersihan di restoran ini? Berapa lamakah mesin itu tidak dibersihkan, sudah berapa ramai yang minum tanpa menyedari nya. Ternyata sungguh kotor restoran ini,” tulisnya.

Perkongsian Kartini itu mendapat perhatian netizen dan menasihatkannya untuk membuat laporan kepada pengurusan McDonald’s untuk tindakan.

Susulan perkongsian Kartini yang tular sejak beberapa hari lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) telah mengarahkan restoran tersebut ditutup selama dua minggu mulai hari ini.

Pemeriksaan mendapati restoran tersebut tidak menepati tahap penilaian kebersihan dan memang dalam keadaan tidak memuaskan.

Media tempatan melaporkan pemilik premis boleh merayu sebelum tindakan penambahbaikan diambil terhadap ketidakpatuhan dan pihak JKNS akan membuat pemeriksaan sebelum membuat keputusan.

Sebelum ini, sebuah restoran kopitiam di Bandar Baru Nilai menjadi tular apabila ‘hidang’ sambal dipenuhi ulat kepada pelanggan dan pemeriksaan JKNS mendapati tempat simpanan makanan yang belum dimasak berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Justeru pihak JKNS mengeluarkan notis mengikut Seksyen 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

‘Penampakkan’ serangga dan binatang di dalam makanan ini semakin tular di media sosial kerana sebelum ini netizen memuat naik gambar tikus di dalam mesin pemanas makanan di rangkaian kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven di Petaling Jaya, Selangor.

Ini sekali gus memberikan kesan terhadap perniagaan dan menimbulkan keraguan dalam kalangan pelanggan terhadap makanan yang disediakan pekerja restoran. – MYNEWSHUB.CC

*Video di bawah sekadar hiasan.

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top