Bukan Berita Online Biasa

Pelantikan Maimunah Dicatat Dalam MBOR

in Utama & Sensasi

GEORGE TOWN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd Sharif yang dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di UN-Habitat disenarai sebagai individu dan wanita pertama di Asia yang memegang jawatan itu dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Maimunah memberitahu pemberita beliau diberi pengiktirafan oleh MBOR dalam satu majlis semalam.

Berkongsi lanjut dengan pemberita pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Menteri Lim Guan Eng, wanita yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan sokongan kepadanya.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah pun memberikan saya sokongan yang padu sepanjang saya menjalankan tugas sebagai penjawat awam daripada pegawai perancang bandar sehinggalah ke jawatan Yang Dipertua dan Datuk Bandar. Saya akan berangkat ke Nairobi, Kenya pada 20 Januari ini untuk memulakan tugas sebagai pengarah eksekutif UN-Habitat,” katanya.

Pelantikan Maimunah, 56, dibuat oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres yang mendapat sokongan sebulat suara dalam perhimpunan agung pertubuhan itu pada 23 Dis, menjadikan beliau sebagai wanita pertama di Asia yang menjawat jawatan itu.

Beliau akan menggantikan pengarah eksekutif UN-Habitat yang juga bekas Datuk Bandar Barcelona, Joan Clos yang tamat kontrak secara rasmi pada 31 Disember lalu.

UN-Habitat ialah agensi PBB yang bertanggungjawab menambah baik kehidupan di bandar yang pesat membangun. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Utama & Sensasi

Go to Top