Bukan Berita Online Biasa

Pelbagai Jenis Anggur Di Ladang Saloma Di Sitiawan

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi
Spread the love

SITIAWAN – Langsung tidak pernah terfikir untuk memetik anggur segar dari ladang, lebih-lebih lagi di negara sendiri yang beriklim khatulistiwa serta lokasinya bukanlah di tanah tinggi.

Tetapi selepas pertama kali mengunjungi Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery di Lekir, rupa-rupanya di Perak mempunyai dua ladang anggur milik seorang bumiputera, dan tanggapan penulis lenyap apabila mereka menawarkan pengalaman istimewa kepada pengunjung lain.

Pengalaman berjalan di bawah gugusan anggur bergayutan di atas kepala pasti membuatkan sesiapa sahaja yang pertama kali melangkah masuk termasuklah penulis terpesona selain boleh merasai kemanisan dan kerangupan tekstur jenis anggur tempatan yang dianggap memiliki kelas tersendiri.

Berkonsepkan petik, timbang dan bayar, seperti yang dilakukan pengusaha tanaman strawberi di Cameron Highlands, pengunjung berpeluang memetik sendiri buah anggur yang telah matang di bawah pengawasan pekerja ladang.

Jangan lupa abadikan kenangan sukar diperoleh itu dengan mengambil gambar foto dan merakam video sebelum pulang. Tiada sebarang bayaran dikenakan.

Begitulah hasil kemajuan teknologi hibrid membolehkan tumbuhan renek itu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia di mana setakat ini cuma dua tempat yang penulis ketahui ada mengusahakan ladang anggur iaitu di Perlis dan di Sik, Kedah.

Bagi pemilik Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery, Siti Saloma Saad, 52, memilih sesuatu yang unik bukanlah laluan mudah untuk ditempuhi. Namun bekas pelukis pelan di sebuah jabatan kerajaan itu bersama suaminya Shuhaimi Ishak, 53 yang telah lebih 10 tahun menceburi ladang pertanian anggur, mereka membuktikan bahawa setiap keazaman yang disulam usaha gigih pastinya membuahkan hasil.

Kini populariti dua ladang anggur yang setiap satunya seluas satu ekar, turut diusahakan bersama dua anak mereka, Muhammad Danial, 23, dan Farah Dalila, 20, kian dikenali.

Sekali gus kejayaan itu menjadikan keluarga ini terutamanya Siti Saloma sebagai individu ‘terpenting’ hingga ada menggelarkan beliau dengan panggilan master gardening bagi penanaman anggur.

Setakat ini terdapat kira-kira 2,000 pokok anggur di kedua-dua buah ladang itu yang dijaga oleh empat beranak itu dibantu beberapa pekerja termasuk lima pelajar praktikal dari universiti awam mahupun swasta ketika ini.

Menurut Siti Saloma, pihaknya menyediakan persekitaran semula jadi untuk dirasai sendiri oleh pengunjung ladang berkenaan.

“Di ladang ini, semua pokok anggur ditanam di bawah rumah perlindungan hujan. Bila kita buat begini, ini sekali gus mendedahkan kepada orang ramai bahawa anggur boleh ditanam dan hidup subur di kawasan cuaca panas.

“Anggur yang hidup subur ini juga berdasarkan beberapa faktor seperti pemilihan jenis yang tahan dengan hujan dan cuaca yang lembap serta panas,” katanya.

Celoteh wanita yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang ini bagaikan satu ensiklopedia pertanian bergerak. Walaupun mengakui awal pembabitan, beliau lebih banyak mempelajari ilmu agro dari internet, namun hasilnya kini adalah bukan calang-calang nilainya.

Jelasnya, menanam pokok anggur di negara ini bukanlah suatu yang mustahil kerana kajian menunjukkan anggur juga berasal dari negara padang pasir dan mengikut maklumat diperoleh menerusi Internet, cuaca panas mampu memaniskan lagi buah anggur.

“Pendedahan kepada cahaya matahari pada kadar 80 hingga 100 peratus dan peredaran udara yang baik faktor yang mempengaruhi pertumbuhan pokok anggur.

“Namun pokok anggur ini ada pantangnya, jika kerap terkena air hujan, daun dan batang anggur mudah mereput/berkulat, buahnya jadi berbintik-bintik hitam seolah-olah berkarat kerana sifat berasid anggur yang sensitif kepada air,” katanya.

Segala idea menceburi perusahaan itu datang daripada suaminya, Shuhaimi Ishak, 52, yang ketika itu pulang dari Senegal, sebuah negara di Afrika Barat, atas urusan syarikat perkapalan yang berpusat di Pulau Pinang, kira-kira 11 tahun lepas (2005).

Sewaktu suaminya, yang ketika itu adalah seorang pengurus projek dan juruukur bahan, dalam perjalanan pulang menaiki Air France, Shuhaimi telah menonton tayangan dokumentari mengenai industri tanaman anggur di Perancis. Ia sekali gus menarik minatnya untuk mencuba menanam pokok itu di Malaysia.

Siti Saloma berkata, idea untuk mencuba tanaman itu disampaikan kepadanya sekembali suami ke tanah air. Lantaran itu, mereka yang ketika itu menetap di Alor Setar terus mencari benih anggur di Perlis termasuk beberapa tempat di Kuala Lumpur.

Menurutnya, bermodalkan lima pokok benih anggur berharga RM25 sepokok, beliau yang berhenti bekerja sekitar 2002 akhirnya berjaya menuai hasil selang empat bulan kemudian sebelum membiakkan pokok berkenaan sehinggalah 40 pasu.

“Masa itu, selain mempelajari daripada internet, suami saya sambil ke luar negara atas urusan kerja pasti membeli buku cara-cara penanaman anggur,” katanya yang suaminya berasal dari Kodiang, Kedah.

Rentetan daripada menanam peringkat awalnya hanyalah secara suka-suka, ia kemudian bertukar menjadi serius apabila hasil tanamannya mula membuka mata jiran-jiran yang mahukan berkongsi tips penanaman.

Pada 2006, keluarga beliau berpindah ke Perak apabila suaminya ditukarkan bertugas di Lumut. Lantas mereka menyewa sebidang tanah seluas 0.4 hektar di Batu 6, Lekir dekat Sitiawan untuk mengusahakan tanaman itu.

“Apabila melihat kejayaan yang memberangsangkan, ia mendorong saya membeli sebidang tanah seluas 1 ekar (0.4 hektar) pula di Batu 7, Lekir bagi meluaskan lagi ladang dan sehingga kini, kedua-dua ladang dipenuhi ratusan pokok anggur yang terdiri daripada pelbagai jenis,” katanya.

JENIS ANGGUR

Menurut Siti Saloma, beliau telah menanam lebih 10 jenis anggur namun hanya lapan jenis yang dapat dikomersialkan iaitu Isabella Madu, Long White Malaga, IAC, Alphonso Lavelle, Black Queen, dan jenis tanpa biji seperti Black Opal, Flame Seedless dan Loose Perlette.

“Kesemua jenis anggur itu berbeza dari segi rupa dan rasa. Long White Malaga berasal dari Afrika Selatan mempunyai isi yang rangup, berwarna hijau kekuningan berbentuk lonjong sebesar ibu jari dan mempunyai rasa yang manis.

“Alphonso Lavelle pula yang berasal dari Kepulauan Bali juga mempunyai isi pejal dan warnanya pula hitam purple. Begitu juga dengan Black Opal yang sangat manis rasanya namun ia tidak berbiji dan saiznya sederhana,” ujarnya sambil menceritakan semasa El Nino pertengahan tahun ini telah menyebabkan kebanyakan tanaman anggurnya berbuah dengan sangat manis hinggakan tiada biji berbanding tuaian Disember 2015.

Menceritakan lanjut, kebanyakan pokok anggur yang ditanam di kedua-dua ladangnya ada yang telah berusia 5 hingga 10 tahun dan mampu mengeluarkan hasil purata 15 kilogram bagi setiap satu pokok mengikut giliran.

Dalam usaha mempelbagaikan lagi koleksi jenis anggur, Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery kini mula menanam varieti anggur jenis Red Globe berasal dari China, namun masih dalam peringkat awalan.

Saloma berkata buah anggur Red Globe menjadi ‘table grape” (hanya untuk makan segar) di mana terdapat lebih 200 jenis Red Globe di seluruh dunia. Rasanya yang manis, dan buahnya banyak dan besar, menjadikan buah ini unggulan.

Sebidang tanah seluas 1.2 hektar di Ulu Dedap, Teluk Intan bakal menjadi ladang anggurnya yang ketiga. Ketika ini, Siti Saloma berkata tanah berkenaan masih dalam proses kemasan dan dijangka beroperasi pertengahan tahun hadapan.

“Selain itu, Jabatan Pertanian Daerah Manjung baru-baru ini telah memberi 0.6 hektar dan kini tapak itu hampir siap pembersihan.

“Berkemungkinan dalam bulan Februari tahun hadapan ia akan beroperasi dan saya akan menjadi tenaga pengajar bagi kursus dalam bidang pokok anggur di bawah anjuran pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, minat Siti Saloma dan Shuhaimi telah diperturunkan kepada kedua-dua anaknya yang dipupuk sejak kecil.

Ketika ini anak pertamanya Muhammad Danial, graduan pengurusan pertanian dalam Universiti Putra Malaysia cawangan Bintulu diberi tanggungjawab menjaga ladang pertama mereka di Batu 6, Lekir.

Manakala Farah Dalila kini sedang mengambil diploma dalam pengurusan perniagaan di Universiti Tekologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dan sering membantu di ladang jika mempunyai masa terluang.

JUAL POKOK ANGGUR

Bagi individu yang berminat memiliki pokok anggur sendiri, Ladang Anggur Saloma Vineyard and Nursery turut menawarkan jualan anak pokok anggur pelbagai jenis serta baja dan tanah dengan harga yang berpatutan.

Setiap pokok dijual purata serendah RM25 hingga mencecah ratusan ringgit, mengikut saiz dan jenis. Malah pokok anggur juga sesuai untuk dijadikan pokok hiasan.

Malah terdapat juga benih-benih pokok yang lain selain anggur antaranya epal bidara, kurma hibrid, buah tin, pokok herba dan banyak lagi.

NEGARA PERLU PERLUASKAN TANAMAN ANGGUR

Hakikatnya, penulis berpendapat penanaman anggur di Malaysia adalah sesuatu yang masih jarang diceburi petani dan usahawan di negara ini, mungkin disebabkan penjagaannya yang rumit, kekurangan teknik dan teknologi berbanding negara jiran, Thailand yang mempunyai ladang-ladang yang besar, yakni sememangnya maju dalam bidang teknologi pertanian.

Walaupun kerap berita berkenaan kejayaan tanaman anggur dihebahkan, namun tiada pengeluaran yang benar-benar mencapai skala yang cukup untuk menjadi pembekal anggur negara.

Bagaimanapun, kejayaan ini hanya boleh dicapai dengan penglibatan semua iaitu antara badan-badan berkaitan dengan pengusaha ladang sendiri.

SISIPAN TENTUKAN KEMANISAN

Bagaimana hendak tahu sama ada buah itu manis? Siti Saloma berkata ianya bukanlah boleh ditentukan dengan lidah semata-mata ataupun dengan memandang secara mata kasar menentukan kematangan buah itu.

Dalam menjaga kualiti buah anggur keluarannya manis sebelum boleh dipetik umum, beliau menggunakan ‘alat Brix’ bagi menentukan ukuran kemanisan buah itu.

“Penjagaan kualiti buah anggur memang kami utamakan. Biasanya kami tetapkan bacaan kemanisan buah sekitar 25-26 Brix barulah kami bukakan anggur untuk dipetik kepada umum,” kata beliau yang lazimnya anggur import di pasaran sekitar 18-20 Brix.

PEMANGKASAN DAHAN GALAK ANGGUR BERBUAH

Anggur termasuk jenis tanaman yang selalu berbuah setiap tahun.

Tambah Saloma, anggur di ladang itu berbuah mengikut giliran dalam empat peringkat. Setiap peringkat melibatkan masa selama kira-kira empat bulan.

Menurut beliau, anggur boleh berbuah sebanyak dua atau tiga kali setahun tetapi ia boleh direhatkan selepas tuai berbuah dalam sebulan atau dua bulan. Selepas itu barulah diulangi dengan cara pemangkasan dahan dan daunnya.

Tempoh rehat itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan daya rintangan pokok terhadap penyakit.

“Ketika pokok direhatkan, baja kesuburan akan ditambah manakala ranting dan daun dipangkas untuk menghasilkan tunas baru bagi mendapatkan hasil tuaian yang banyak pada musim akan datang,” jelasnya.

Kata beliau lagi, tunas baru pokok yang dipangkas tadi akan berputik dalam tempoh tiga hingga empat minggu beserta bunga. Selepas 120 hari, buah-buah anggur yang matang boleh dipungut mengikut kemanisan.

Sambil berbual ketika dibawa melihat lebih dekat sistem penanaman anggur di ladang itu, Saloma berkata cabaran utama yang dihadapi sepanjang tempoh pokok anggur berbuah tentunya ancaman penyakit, serangan fungus dan serangga ulat daun.

Namun, ladang Saloma cuba meminimum penggunaan racun kimia, sebaliknya menggunakan racun organik seperti campuran air lada dan bawang putih yang dibuat sendiri, bagi menghalau serangga perosak seperti ‘mealy bug’ dan ulat bulu.

JANGAN TANAH TAKUNG AIR

Saloma tidak menolak dakwaan bahawa anggur susah untuk dijaga, namun jika pemiliknya bijak mengendalikan tanaman itu, ia pastinya mudah sahaja.

“Tidak kiralah di atas batas mahupun dalam pasu, pokok anggur ini pantang tanah yang boleh menakung air kerana akar serabutnya mudah rosak dan tidak sekuat akar tunjang.

“Tanah yang sesuai untuk penanaman anggur adalah tanah berpasir yang neutral pH antara 6 atau 7 dan senang untuk digemburkan. Sebaiknya, sebelum melakukan
penanaman, tanah itu perlulah dibuat rawatan tanah,” katanya dan menambah kata tanah itu juga dicampurkan tanah gambut dan baja kompos seperti bahan buangan daripada haiwan seperti kambing atau kelawar.

Penggunaan baja organik adalah yang paling baik kerana kandungan nutrien aslinya yang tinggi berbanding baja kimia.

Selain perlukan kadar matahari yang mencukupi, pokok anggur perlukan pengairan yang sempurna. Sehubungan itu, penyiraman dilakukan sebanyak dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang.

Bagi menambah bilangan anak pokok anggur pula, Saloma berkata proses tut atau kahwin adalah antara teknik pembiakan yang sering digunakannya untuk membolehkan pokok buah berbuah pada umur yang muda.

Namun, beliau tidak mengguna teknik semaian biji kerana tempoh pertumbuhannya yang lambat. – BERNAMA

Loading...

Spread the love

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top