Bukan Berita Online Biasa

Pemandu Bas Ekspres Samseng Digantung Kerja

Pemandu Bas Ekspres Samseng Digantung Kerja

in Jenayah/Utama & Sensasi

PADAH memandu dalam keadaan berbahaya dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, seorang pemandu bas ekspress digantung kerja serta merta semalam.

Pemandu bas yang sudah lima tahun bekerja di syarikat Darul Naim Express itu digantung kerja serta merta sejak Ahad lalu dan bakal berdepan dengan tindakan berhenti kerja jika didapati bersalah.

Sebuah portal berita melaporkan, pengurus operasi syarikat Darul Naim Express, Saripah Mohamad berkata, pihaknya mengambil serius mengenai kejadian tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemandu bas berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung insiden itu sedang dijalankan dan pihaknya masih menunggu makluman aduan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Saripah berkata, menerusi penjelasan pemandu bas tersebut, kejadian yang dipercayai berlaku di Genting Sempah itu tercetus apabila pemandu kenderaan jenis Hilux dikatakan keluar dari simpang secara melulu hingga menyebabkan pemandu bas terbabit berang.

Menurutnya, ketika kejadian bas tersebut membawa kira-kira 30 penumpang yang dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur dan dijangka tiba kira-kira jam 6 petang.

“Namun, kami tidak setuju dengan sikap pemandu bas tersebut yang memandu dengan laju dan mengejar kenderaan itu.

“Kami bersetuju dengan komen netizen iaitu pekerja kami tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian, siapa pun salah, sebagai pemandu bas, dia tidak sepatutnya bertindak sebegitu kerana boleh mengancam keselamatan penumpang dan pemandu jalan raya lain,” katanya.

Baca ini: Cemas Dikejar Pemandu Bas Ekspres Samseng

Kejadian tersebut menjadi tular di media sosial apabila penumpang kereta Hilux berkenaan memuat naik video aksi cemas ‘dikejar’ pemandu bas di laman Instagramnya.

Tunku Khalsom Ibrahim @khalsomsom mendakwa pemandu bas ekspres itu memandu dalam keadaan berbahaya selepas ibunya membunyikan hon apabila menyedari bas tersebut dipandu dalam keadaan laju di Leburaya Karak, Pahang pada 18 Mac lalu.

Susulan kejadian itu, Saripah berkata, pihaknya sudah membuat permohonan maaf kepada pengadu menerusi khidmat pesanan mesej yang dihantar di laman sosialnya, namun masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Dengan ini, kami secara terbuka memohon maaf kepada pengadu dan pengguna jalan raya lain berhubung kelakuan pekerja kami.

“Pemandu perlulah mempunyai pengalaman, berdisiplin dan berkelakuan baik,” katanya.

Jelasnya, pihak syarikat sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang dan begitu teliti dalam pengambilan pekerja.

Katanya, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut. –MYNEWSHUB.CC

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top