Bukan Berita Online Biasa

Pementasan Muzik Kenang 25 Tahun Pemergian Sudirman

Pementasan Kenang 25 Tahun Pemergian Sudirman

in Artis/Utama & Sensasi

GENAP 25 tahun Malaysia kehilangan mutiara seni tanah air, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad pada tahun ini.

Sebagai penghormatan dan tribute mengenang Allahyarham Sudirman, The Actors Studio Seni Teater Rakyat akan menganjurkan pementasan muzik menerusi One Thousand Million Smiles.

Khabarnya, pementasan muzik ini telah dianjurkan pada tahun lalu dan dianjurkan sekali lagi kerana sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Tambahan pula, Sudirman merupakan satu nama yang memang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Disebabkan itu juga, Datuk Aznil Nawawi tekad untuk membuat persembahan seakan-akan persembahan Sudirman semasa Majlis Penutupan Sukan SEA KL2017 Ogos lalu.

Menurut laporan BH Online, kejayaan pementasan muzik pada tahun lalu membuktikan lagu dan nyanyian Sudirman masih relevan pada era ini dan sudah pasti akan menjadi sanjungan dan diingati sampai bila-bila.

Finalis Malaysian Idol, Nikki Palikat dan pemenang rancangan realiti NTV7, Audition iaitu Tria Aziz antara nama yang akan menjayakan pementasan kali ini seperti tahun sebelumnya.

Selain itu, penyanyi Amir Hazril Harith, Ian Chow, Tyonn Leong dan Joel Wong turut menghangatkan lagi pementasan muzik yang bersejarah ini.

Datuk Faridah Merican

Datuk Faridah Merican yang juga pengarah pementasan muzik ini menyatakan ini adalah antara inisiatif mengembalikan muzik yang telah ditinggalkan Sudirman sebagai Penghibur Nombor 1 Asia itu dan memperkenalkannya kepada generasi baru.

“Pencinta muzik akan disajikan dengan rangkaian lagu terbaik beliau seperti Balik Kampung, Salam Terakhir, Hujan dan sudah tentunya One Thousand Million Smiles.

“Konsep persembahan yang menyamai persembahan muzikal zaman 80-an ini bakal diiringi oleh Orkestra KLPAC di bawah pimpinan Lee Kok Leong dan kumpulan pemuzik yang diketuai oleh Loh Ui Li.

“Seperti seniman itu sendiri, One Thousand Million Smiles bakal menyajikan persembahan mengasyikkan dari awal hingga akhir,” katanya dipetik BH Online.

One Thousand Million Smiles akan diadakan di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) pada 26 hingga 28 Oktober depan.

Tiket pementasan muzik ini juga boleh didapati di laman rasmi KLPAC, www.klpac.org atau menghubungi di talian 03-40479000.

Allahyarham Sudirman telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tanggal 22 Februari 1992 di rumah kakaknya di Bangsar pada umur 37 tahun kerana menghidapi Pneumonia. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Terkini dari Artis

Go to Top