Bukan Berita Online Biasa

Pos Malaysia Keluarkan Setem Khas Agong Ke-15

Pos Malaysia Keluarkan Setem Khas Agong Ke-15

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi setem dan filateli khas sempena Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada Isnin ini.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata setem khas itu dikeluarkan sebagai tanda penghormatan dan kenangan kepada Sultan Muhammad V.

Beliau berkata setem itu mula dijual di pejabat pos seluruh negara pada 25 April kecuali di Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan, dijual pada 26 April.

“Untuk keluaran khas ini ia memaparkan baginda dengan pakaian rasmi yang melambangkan sebagai ketua negara. Setem ini sangat istimewa kerana menggunakan cetakan dakwat emas,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya koleksi setem yang bertajuk ‘Raja Sebagai Pemerintah Negara’ itu dikeluarkan dalam dua reka bentuk iaitu bertebuk sebanyak 200,000 keping yang dijual pada harga 60 sen sekeping dan tanpa tebukan sebanyak 5,000 bernilai RM12 sehelai.

Pos Malaysia Keluarkan Setem Khas Agong Ke-15

Diyana berkata koleksi setem itu juga didatangkan dengan Lembaran Mini yang memaparkan imej Sultan Muhammad V melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan itu.

Selain itu, Sampul Surat Hari Pertama (FDC) dengan setem dijual pada harga RM1.15 dan FDC bersama Lembaran Mini pula bernilai RM5.85. Para pelanggan juga boleh membeli siri set folder lengkap yang mengandungi setem dan produk filateli yang lain dengan harga RM44.10 setiap satu.

Dalam pada itu, Diyana berkata Pos Malaysia buat pertama kalinya membuat setem khas sempena sambutan Hari Ibu pada 14 Mei depan.

Beliau berkata setem bernilai RM21.20 setiap helai itu akan mula dijual pada 21 April hingga 14 Mei boleh didapati di setiap pejabat pos dan dalam talian.

“Selain itu sempena sambutan Hari Guru, Pos Malaysia juga membuat tiga reka bentuk setem yang bernilai RM10.60 sehelai khusus untuk pelajar sekolah. Ia akan mula dijual bermula 17 April hingga 16 Mei depan,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top