Bukan Berita Online Biasa

Rapatkan Saf Satukan Semua Saluran TV Sempena Maal Hijrah

‘Rapatkan Saf’ Satukan Stesen TV Sempena Maal Hijrah

in Alhijrah Frenz/Utama & Sensasi

TV ALHIJRAH bakal mengadakan program persembahan Rapatkan Saf yang ditayangkan secara langsung bersempena sambutan ulang tahun ke-6 stesen televisyen tersebut.

Konsert Rapatkan Saf kali ini lebih istimewa oleh kerana tarikh Ahad, 2 Oktober itu bakal dikongsi dengan sambutan Awal Muharram 1438H yang merupakan tahun baru dalam takwim Islam.

Mengangkat tema Maal Hijrah dengan menggabungkan nyanyian, qasidah, syair, puisi, zikir munajat dan lakon pendek, Konsert Rapatkan Saf bermatlamat untuk menyampaikan mesej Islam sebagai agama keamanan dan penyatuan, selain memberi kesedaran kepada umat Islam akan pentingnya meraikan kedatangan tahun baru Hijrah.

“Konsert Rapatkan Saf ini menjadi wadah terbaik untuk menyuntik dakwah melalui bait lagu dan puisi, selain mampu menzahirkan manifestasi kesenian Islamik sebagai santapan rohani,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Haji Izelan Basar semasa sesi sidang media sempena pelancaran program ini yang bertempat di Restoran Berputar Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Rapatkan Saf Satukan Semua Saluran TV Sempena Maal Hijrah
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Haji Izelan Basar

“Jika tahun baru Masihi disambut secara besar-besaran saban tahun, maka mengapa tidak Maal Hijrah? Inilah matlamat utama Konsert Rapatkan Saf tahun ini, untuk menyedarkan kaum Muslimin akan signifikan sambutan tahun baru Islam ini khususnya bagi golongan muda,” terangnya lagi.

Konsert Rapatkan Saf menjanjijan sajian persembahan yang menggabungkan elemen Islamik dan hiburan moden yang selari dengan era globalisasi hari ini, dengan membariskan persembahan artis terkemuka Nusantara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ramli Sarip, Opick, Altimet, Awi Rafael dan Mawi.

Seterusnya, buat julung kalinya konsert ini bukan sahaja disiarkan secara langsung di TV AlHijrah, malah turut mendapat kerjasama penuh rakan-rakan penyiar utama dan akan ditayangkan serentak di saluran televisyen utama iaitu RTM TV1, TV9, Salam HD di HyppTV (saluran 113), Bernama TV, Astro Oasis (106) dan saluran radio IKIM.fm (91.5), pada jam 9 malam hingga 11 malam.

“Secara simboliknya, gabungan kesemua saluran utama dalam menyiarkan konsert ini secara serentak menggambarkan konsep merapatkan saf, berganding bahu dan saling membantu sesama rakan industri penyiaran negara, barisan artis dan para pekerja dalam parameter syariat,” jelas Izelan lagi.

Program sambutan Maal Hijrah ini akan dihoskan oleh penyampai Kool FM, Khairu Norliza Khairudin atau Liza dan turut menampilkan personaliti popular seperti Fynn Jamal dan Mat Dan. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Terkini dari Alhijrah Frenz

Go to Top