Bukan Berita Online Biasa

Tan Cheng Hoe Jadi Ketua Jurulatih Harimau Malaya

in Sukan/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan bahawa Tan Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.

Setiausaha agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin melalui kenyataan ringkas dalam laman Facebook rasmi FAM malam ini, mengucapkan tahniah kepada Cheng Hoe.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas perlantikan beliau menjadi Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu,” Hamidin dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Cheng Hoe sebelum ini adalah penolong jurulatih untuk skuad berkenaan.

Perlantikan itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Nelo Vingada yang secara rasmi melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan berkuat kuasa serta merta semalam.

Selain Vingada, dua pembantunya – Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa, turut melepaskan jawatan masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.

Untuk rekod, Cheng Hoe mempunyai pengalaman luas bersama skuad kebangsaan selain pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal semasa menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Sebelum menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya, Cheng Hoe juga adalah bekas jurulatih pasukan Kedah, yang berjaya mengembalikan kegemilangan skuad berkenaan dalam kancah Liga Malaysia.

Di bawah kendaliannya sejak 2014, Kedah berjaya memenangi Piala Malaysia pada 2016. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Sukan

Go to Top