Bukan Berita Online Biasa

Tengkolok Diraja: 'Dendam Tak Sudah' Simbolik Hidup

Tengkolok Diraja: ‘Dendam Tak Sudah’ Simbolik Hidup

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Seni lipatan atau solek Tengkolok Diraja – ‘Dendam Tak Sudah’ – yang bakal dipakai Sultan Muhammad V sempena majlis istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 Isnin depan, bukan sekadar pelengkap busana kebesaran Raja-raja Melayu, namun mempunyai falsafah, lambang dan simbol tertentu.

Pembuat tengkolok atau destar Seri Paduka atau digelar ‘penyolek’ dalam adat Melayu, M.Z Fairuz Zakaria berkata Dendam Tak Sudah membawa maksud tersirat dan berkait rapat dengan kehidupan dan fitrah manusia.

“Secara simboliknya, dendam tidak semestinya bermaksud permusuhan, tetapi berkaitan perasaan seseorang seperti rindu dendam atau dendam semangat untuk memperjuangkan Tanah Melayu.

“Apabila Raja-Raja Melayu memakai destar, ia menyampaikan maksud bahawa perjuangan mereka yang tidak sudah dan perlu terus digalas sebagai tanggungjawab kepada tanah air,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang mesra dipanggil Fairuz, 40, berkata Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan adalah jenis destar berwarna hitam bersulam benang emas, yang akan dipakai oleh setiap Raja Melayu yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Destar Dendam Tak Sudah mempunyai lima ciri utama iaitu lambaian ibu, takuk, simpul kasih, pucuk kasih dan gelembung kasih dan setiap satunya mempunyai maksud tersendiri.

Lambaian ibu adalah bahagian paling atas pada destar yang menggambarkan lambaian seorang ibu kepada anaknya yang keluar merantau dengan harapan anak itu akan kembali ke tanah asal.

Pada bahagian tengah hadapan lambaian ibu akan diletakkan jata negara yang diperbuat daripada emas putih, manakala di tengah-tengah bintang terketak lambang Kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.

Menurut Fairuz, destar Dendam Tak Sudah yang akan dipakai Sultan Muhammad V mempunyai lipatan lambaian ibu menghala ke kanan, manakala bagi destar jenis sama yang turut dipakai golongan kerabat atau golongan kebanyakan mempunyai lambaian ibu menghala ke kiri.

Takuk pula adalah bahagian bawah destar, yang mana destar yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong mempunyai lima lipatan takuk melambangkan lima prinsip Rukun Islam.

“Takuk juga melambangkan perjalanan hidup. Jika diteliti setiap takuk yang dilipat tidak semestinya mempunyai lipatan yang sama besar, bererti dalam hidup ini tidak semuanya indah, ada masa baik, ada masa jalan hidupnya berliku,” katanya.

Ciri lain destar iaitu Simpul Kasih (bahagian simpulan pada telinga) bermaksud ikatan perkahwinan; Pucuk Kasih (bahagian menegak pada tepi destar) melambangkan kuasa seseorang raja dan Gelembung Kasih (bahagian menggelembung di bawah Lambaian Ibu) bermaksud ikatan perkahwinan yang berakhir dengan seseorang isteri yang mengandung.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Pendang, Kedah itu berkata pada asalnya destar Dendam Tak Sudah dikenali sebagai Dandan Tak Sudah yang bermaksud destar yang tidak lengkap dan mempunyai beberapa bahagian yang tidak berjahit.

“Mungkin suatu masa dahulu semasa penyolek raja membuat destar, ia perlu dipakai segera dan sebab itu dikenali sebagai Dandan Tak Sudah kerana tidak lengkap sepenuhnya.

“Apabila dibawa ke Negeri Sembilan, ia kemudiannya ditukar kepada nama Dendam Tak Sudah,” katanya yang telah lima tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Selain Dendam Tak Sudah, terdapat pelbagai jenis destar dengan solek yang khusus seperti Balung Raja, Lang Menyusur Angin, Ayam Patah Kepak dan Solok Timba.

​​Menurut Fairuz yang turut dibantu isterinya, Siti Aisyah Sheikh Idris, 30, saiz dan ukuran kepala Sultan Muhammad V diperoleh daripada pegawai istiadat Istana Negara dan ia tidak boleh dilaraskan apabila telah siap sepenuhnya.

Berkongsi pengalaman menghasilkan destar buat pertama kali bagi istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Fairuz berkata sifat sabar dan teliti amat diperlukan kerana ia adalah seratus peratus buatan tangan.

Katanya, pembuatan destar Seri Paduka mengambil masa lapan jam dan disiapkan sepenuhnya di Istana Negara di bawah pemerhatian pegawai-pegawai istana.

Destar tersebut diperbuat daripada songket tenunan tangan berbenang emas atau benang sutera dari Terengganu kerana songket dari negeri berkenaan mempunyai material yang lebih berkualiti serta motif yang berbeza daripada songket lain, katanya.

“Cabarannya apabila lipatan destar tidak tepat..mula-mula lipat, tak menjadi..saya tinggalkan sekejap dan terpaksa lipat semula dari mula.. pada masa sama saya perlu terangkan kepada pegawai Istana setiap perincian dan makna pada destar itu,” katanya yang sebelum ini pernah menghasilkan destar untuk Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan penerima darjah kebesaran.

Bermula dengan hobi dan minat mendalam terhadap warisan Melayu, Fairuz yang mengusahakan Kazanah Warisan Al-Fairuzi di Batu Caves, Selangor berkata beliau mempelajari teknik menghasilkan destar daripada orang lama dan berpengalaman di kebanyakan negeri termasuk Negeri Sembilan dan Pahang.

Beliau juga menyimpan artikel dan gambar lama, selain mengunjungi muzium dan galeri diraja untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sesuatu budaya dan adat Melayu.

Selain untuk dipakai, Fairuz yang berhasrat untuk menerbitkan buku berkaitan hiasan kepala turut menghasilkan destar dalam saiz miniatur sebagai cenderahati. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top