Bukan Berita Online Biasa

Wanita Melayu Pertama Bakal Jadi Presiden Singapura?

Tiada Pertandingan, Halimah Sah Presiden Singapura

in Politik/Utama & Sensasi

SINGAPURA – Rakyat Singapura tidak perlu untuk keluar mengundi bagi memilih seorang Presiden baharu republik itu kerana hanya satu Sijil Kelayakan yang dikeluarkan pada Isnin.

Pengumuman yang dianggap sebagai pelik itu kemudian disahkan oleh pihak Jabatan Pilihan Raya (ELD), pejabat Perdana Menteri Singapura menerusi satu kenyataan media dan juga dikeluarkan pada hari sama.

Seramai lima individu telah membuat permohonan bagi mendapatkan Sijil Kelayakan. Daripada lima individu ini, hanya tiga didapati berjaya mengumumkan bahawa mereka adalah anggota masyarakat Melayu.

Calon terbabit dilaporkan sudah membuat permohonan bagi mendapatkan Sijil Masyarakat Melayu. Bagaimanapun pihak ELD kemudian memutuskan untuk mengeluarkan hanya satu Sijil Kelayakan.

Media tempatan melaporkan Jawatankuasa Masyarakat (CC) merujuk ketiga-tiga permohonan bagi Sijil Masyarakat Melayu itu kepada Jawatankuasa Kecil Masyarakat Melayu (MCSC) untuk diteliti.

Pihak MCSC merumuskan bahawa ketiga-tiga pemohon itu adalah anggota masyarakat Melayu. Berdasarkan senario ini, CC sepatutnya akan mengeluarkan tiga Sijil Masyarakat Melayu.

Memandangkan Pilihan Raya Presiden kali ini dikhaskan untuk etnik Melayu, CC menolak dua perisytiharan masyarakat kerana pemohonnya tidak umum diri mereka sebagai anggota masyarakat Melayu.

Baca: Wanita Melayu Pertama Bakal Jadi Presiden Singapura?

Juga: Insafi Kisah Nasib Umat Melayu Islam Di Singapura

Ini bermakna cuma seorang individu menerima kedua-dua sijil iaitu Sijil Kelayakan dan Sijil Masyarakat Melayu. ELD sudah memaklumkan kesemua lima individu mengenai keputusan permohonan mereka.

Ia turut memberikan penjelasan mengapa permohonan mereka ditolak bagi Sijil Kelayakan. MCSC dan ELD namun tidak akan menerbitkan nama pemohon tidak berjaya ataupun penjelasan diberikan kepada mereka.

Ini juga selaras dengan saranan ditetapkan oleh pihak panel Suruhanjaya Perlembagaan Singapura yang ada mengusulkan agar nama pemohon yang gagal tidak pula didedahkan kepada orang ramai.

Ia bertujuan bagi elak prospek pemohon berpotensi daripada tampil bertanding dalam Pilihan Raya seterusnya. Pemohon yang tidak berjaya bebas untuk menerbitkan penjelasan yang diberikan kepadanya.

Meskipun nama tidak didedah, sejurus selepas pengumuman itu dua individu yang sebelum ini melahirkan hasrat bertanding – Salleh Marican dan Farid Khan – mengesahkan permohonan mereka sudah ditolak.

Pegawai Pilihan Raya ELD, Ng Wai Choong akan mengisytiharkan secara rasmi mantan Speaker Parlimen, Halimah Yacob sebagai Presiden Singapura yang ke-8 ketika Hari Penamaan Calon, pada Rabu ini.

Beliau akan memulakan penggal jawatan pada keesokan hari. Halimah merupakan kalangan tiga orang yang menyuarakan hasrat bertanding Pilihan Raya Presiden kali ini yang dikhaskan untuk etnik Melayu.

Untuk melayakkkan diri, pemohon dari sektor swasta seperti Salleh dan Farid perlu menunjukkan yang mereka ialah pemimpin sebuah syarikat dengan ekuiti pemegang saham sekurang-kurangnya S$500 juta.

Atau mempunyai pengalaman dan keupayaan yang setanding. Permohonan Salleh ditolak kerana purata ekuiti pemegang saham syarikat diterajuinya hanya bernilai sekitar S$258 juta pada tiga tahun kewangan lalu.

Ia ‘jauh lebih rendah’ berbanding syarat S$500 juta yang ditetapkan, menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden dalam satu surat yang dikirimkan kepada beliau dan ditunjukkan kepada agensi berita MediaCorp.

Dalam kes berasingan, Farid berkata beliau juga tidak layak disebabkan syarat ekuiti pemegang saham yang ditetapkan itu: “Mereka mengiktiraf bahawa saya menyandang jawatan tinggi dalam syarikat.

“Tetapi syarikat itu tidak memenuhi (syarat) S$500 juta. Apa yang mereka nyatakan tentang S$500 juta itu betul kerana saya tidak pernah berkata saya mempunyai S$500 juta,” kata beliau di pejabatnya.

Halimah bagaimanapun memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi calon yang pernah bertugas dalam sektor awam, iaitu menyandang jawatan sebagai Speaker Parlimen sekurang-kurangnya tiga tahun.

Beliau dijangka memulakan tugas presiden pada 14 September, hari pertama selepas Hari Penamaan Calon iaitu 13 September. Halimah sekali gus merupakan Melayu kedua menjadi presiden republik itu.

Tun Yusof Ishak yang dilahirkan di Taiping, Perak pada 1910, merupakan gabenor Singapura dari 1959 sebelum menjadi presiden pertama selepas Singapura merdeka dari 1965 sehingga 1970. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...
Tags:

Terkini dari Politik

Go to Top