Bukan Berita Online Biasa

Tunku Tun Aminah Kahwin Jejaka Belanda 14 Ogos Ini

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

JOHOR BAHRU – Anakanda Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim bakal melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah, 14 Ogos ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata istiadat perkahwinan pasangan pengantin diraja akan dilaksanakan dengan penuh adat istiadat Melayu dan budaya Istana Johor.

“Sultan Johor Sultan, Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan dan merestui perkahwinan paduka anakanda Tunku Tun Aminah dengan Dennis Muhammad Abdullah,” katanya yang mengumumkan istiadat perkahwinan berkenaan kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata Istiadat Meletak Kerja dengan menaikkan bendera istiadat kerajaan akan diadakan pada 8 Ogos ini bagi menandakan permulaan istiadat perkahwinan diraja.

Beliau berkata majlis tahlil dan doa kesyukuran akan diadakan pada 6.30 petang, 10 Ogos di Masjid Pasir Pelangi, di sini, bagi memohon restu Allah SWT terhadap perkahwinan berkenaan.

“Istiadat pertunangan pula akan diadakan pada 10 pagi, 14 Ogos, di Istana Bukit Serene, di sini, diikuti istiadat nikah dengan Sultan Ibrahim berkenan mewakilkan Mufti Johor, Datuk Muhammad Tahrir Shamsudin sebagai wali.

“Istiadat persandingan pasangan pengantin diraja akan diadakan di Bilik Singgahsana Istana Besar, di sini, pada 8 malam, hari yang sama (14 Ogos),” katanya dan menambah istiadat tersebut berlangsung secara tertutup.

Menurut Abdul Rahim, majlis bersiram pula akan diadakan keesokan hari (15 Ogos) di Bandstand Bukit Bintang, Taman Botani Diraja Istana Besar dan pasangan pengantin akan menziarah Makam Diraja Mahmoodiah pada 16 Ogos.

Abdul Rahim berkata Tunku Tun Aminah yang merupakan puteri tunggal daripada enam adik-beradik diputerikan pada 8 April 1986 di Hospital Sultanah Aminah di sini dan diperkenan oleh Almarhum Sultan Iskandar dengan nama Tunku Aminah Maimunah Iskandariah.

Beliau berkata Tunku Tun Aminah mendapat pendidikan asas dan rendah di Hilltop Kindergarten, Sekolah Convent serta Sekolah Seri Utama, di sini, sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Australia International School di Singapura seterusnya di La Salle School of Fashion and Design, juga di Singapura.

Katanya Tunku Tun Aminah yang dikurniakan gelaran tradisi ‘Tun’ oleh Sultan Ibrahim pada 2012, melibatkan diri dalam sukan lasak seperti menunggang kuda, joging dan mendaki selain dilantik sebagai Presiden Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), tahun lepas.

Tunku Tun Aminah juga terlibat dengan kerja amal termasuk menghulur bantuan kepada mangsa banjir dan merupakan Timbalan Yang Dipertua I Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor serta penaung Johor Bahru International Festival City dan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Johor Bahru.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata Dennis Muhammad atau nama asalnya Dennis Verbaas pula dilahirkan pada 1 Mei 1989 di Lisse, sebuah bandar berdekatan Amsterdam, Belanda dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Beliau berkata anak pasangan Martin dan Henriette Varbaas itu menerima pendidikan di Floretti College Hillego The Netherlands dan kemudian meneruskan pelajaran vokasional dalam bidang kejuruteraan mekanikal di ROC Leiden, The Netherlands.

Katanya, gemar bermain bola sepak, Dennis Muhammad bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sebagai Pengurus JDT Concept Store and Café dan selepas itu sebagai Pengurus Pemasaran Kelab Bola Sepak Tampines Rovers Singapura.

Menurut Abdul Rahim, Dennis Muhammad memeluk Islam pada 31 Mei 2015 di Pejabat Kadi Johor Bahru dan dipimpin oleh pegawai agama bagi mempelajari Islam termasuk solat, berpuasa Ramadan, pengajian al-Quran, akhlak dan tulisan jawi selain dididik dalam Bahasa Melayu, budaya, etika serta protokol istana.

“Mulai tahun ini, Dennis Muhammad diasuh dan dipimpin oleh keluarga angkat yang diperkenan tuanku. Jadual pelajaran agama ditambah dan prestasi beliau sentiasa dipantau oleh panel guru dan pendidik Jabatan Agama sehingga mencapai taraf yang diperkenankan. Dennis Muhammad lulus cemerlang dalam ujian tulisan, lisan dan praktikal,” kata Abdul Rahim. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top