Bukan Berita Online Biasa

Jamal Baca Doa Kutuk Rohingya Dizalimi Di Kedutaan Myanmar

Tutup Kedutaan Myanmar Jika Rohingya Terus Dizalimi

in Politik/Utama & Sensasi

KUALA LUMPUR – Suasana di pekarangan Kedutaan Myanmar di Jalan Ampang Hilir di sini hari ini bergema dengan bacaan doa mengutuk kezaliman kerajaan negara itu terhadap etnik Rohingya.

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengetuai bacaan doa itu selepas menyerahkan memorandum bantahan keras kepada wakil rasmi rejim Myanmar berhampiran dengan kedutaan negara tersebut.

Turut serta ialah Exco Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang menyatakan nota memorandum itu meluahkan protes terhadap kekejaman Myanmar menganiaya minoriti Muslim tersebut di negara berkenaan.

Terdahulu mereka mengetuai kira-kira 400 peserta perarakan Solidariti Ummah Untuk Rohingya yang bermula dari Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum bergerak menuju ke Kedutaan Myanmar setelah Solat Jumaat.

Laungan takbir Allahu Akbar, Hidup Melayu, Hidup Rohingya dan Hidup Islam bergema disambut kaum tersebut yang menjadi pelarian di Malaysia di sebalik hujan lebat turun dalam perarakan sejauh hampir dua kilometer itu.

Selain itu, mereka membawa pelbagai plakad yang bertulis hentikan siri pembunuhan terhadap Rohingya. Turut kelihatan wanita dan anak kecil dari etnik itu yang sama-sama berarak malah ada dilihat menangis teresak-esak.

Menurut Jamal ketika ditemui pemberita, mereka pernah sudah dua kali menghantar memorandum kepada wakil Kedutaan Myanmar tetapi kezaliman, pembunuhan dan penindasan masih lagi berulang di sana tanpa henti.

Justeru jika selepas memorandum kali ini menyaksikan perkara itu masih berlanjutan, Jamal berharap Kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dan mengusir rakyatnya yang bukan Islam pulang ke negara mereka.

“Kami minta Kementerian Dalan Negeri dan kerajaan (Malaysia), sekiranya masih tidak ada tindakan dari kerajaan Myanmar, kita minta tutup sahaja kedutaan mereka di sini, kalau tidak kita membuang masa berdemo hari ini.

“Kami minta tindakan drastik dan rakyat Myanmar dihalau dari negara ini. Kami rakyat negara ini cinta keamanan dan tidak tergamak lihat pembunuhan kejam,” katanya kepada pemberita 300 meter di luar Kedutaan Myanmar.

Armand dalam pada itu pula berkata, Pemuda UMNO terdahulu telah mengeluarkan desakan agar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) segera meluluskan usul tergempar mengenai isu kezaliman Myanmar ke atas Rohingya.

Mereka juga meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak boleh mengetuai negara-negara Asia lain untuk mencampuri urusan ini dengan lebih tegas lagi supaya perkara buruk sebegini dapat diselesaikan.

Himpunan solidariti itu yang bermula pukul 2.45 petang berhampiran Kedutaan Myanmar selesai secara aman kira-kira 3.15 petang tanpa sebarang perkara tidak diingini dan dipantau rapi pihak polis.  – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top