Bukan Berita Online Biasa

UMNO Payah Mati, Miliki Dana Dan Baka Tersendiri

UMNO Payah Mati, Miliki Dana Dan Baka Tersendiri

in Politik/Utama & Sensasi

JERLUN – UMNO merupakan sebuah parti yang ‘payah mati’ kerana memiliki DNA dan baka tersendiri yang cukup kuat, berbeza dengan parti-parti politik lain, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau memberi contoh parti PAS yang lahir daripada UMNO, PAN (pecahan daripada PAS), Semangat 46 (lahir daripada UMNO), DAP (pecahan daripada Parti Tindakan Rakyat Singapura) dan PKR (pecahan UMNO).

Jelas Annuar, UMNO pula tanpa lahir atau pun tumbuh dari ranting lain, wujud setelah 446 tahun bangsa Melayu hidup dalam suasana tidak bersatu, tiada kerajaan dan dalam suasana dijajah selama tujuh keturunan.

“Tujuh keturunan bangsa, agama dan tanah air kita tidak mempunyai tempat kebergantungan, kesedaran tujuh keturunan yang akhirnya menzahirkan pemikiran untuk kita bersatu dan menubuhkan wadah politik.

“Ini bukan sembarangan parti, bukan serpihan, bukan lahir dari rasa tidak puas hati, kalah bertanding atau kena buang, tapi lahir secara fitrah dan semula jadi, datang dari hati nurani rakyat yang tujuh keturunan tidak bergabung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat UMNO Cawangan-Cawangan seluruh negeri Kedah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan timbalannya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam pada itu, Annuar mahu semua kepimpinan UMNO cawangan dan bahagian di negeri ini mempertahankan Kedah di bawah pimpinan Barisan Nasional memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Kedah sebagai ‘jantung’ UMNO Malaysia.

“Kedah adalah lubuk UMNO yang punya sejarah tersendiri, Kedah ada keistimewaan tersendiri,” katanya dan menambah, pemimpin parti perlu berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada parti, pemimpin, persahabatan, perjuangan dan pengundi.

Dalam sidang media selepas itu, Annuar berkata UMNO tidak boleh memandang ringan dan mudah terhadap kewujudan parti-parti baharu walaupun senario itu sebenarnya membuatkan Najib dan BN bertambah kuat.

“Kita dalam parti tidak pernah memandang remeh kerana walaupun seekor nyamuk mungkin kita tidak boleh tidur satu malam, kita guna ancaman untuk membina antibodi UMNO, kita semua bertambah kuat sebab kita memandang ancaman parti lain,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjasama Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), anggota Parlimen Ketereh itu berkata fakta yang tidak boleh dinafikan bahawa PPBM sejak lahir lagi sudah diasuh dan diberi semangat oleh DAP.

“Jadi kalau nak isytihar nak berpakat dengan DAP tak ada yang menarik pun, PPBM tiada sebarang kekuatan dan rakyat boleh baca perkara ini,” katanya.

Pada 14 Mac lepas PPBM melalui Mahathir Mohamad mengumumkan keinginan untuk bekerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan namun meletakkan beberapa syarat termasuk menukar nama pakatan pembangkang itu. – BERNAMA

Loading...

Terkini dari Politik

Go to Top