Bukan Berita Online Biasa

Wartawan TV Alhijrah & Aktivis Masuki Mogadishu

Wartawan TV AlHijrah & Aktivis Masuki Mogadishu

in Alhijrah Frenz/Utama & Sensasi

SEJAK 1991, Somalia bergolak akibat perang saudara. Ia berlarutan hingga kini dengan kewujudan militia Al Shabab yang mengganas, dan telah mengorbankan 4200 nyawa.

Enam juta penduduk Somalia kini kebuluran. Manakala enam juta lagi hidup dalam kemiskinan dan pelbagai krisis di negara yang hampir tiga dekad di ambang kemusnahan.

Selain perang, Somalia juga diancam kebuluran kerana faktor ekuinoks. Kemarau teruk menyebabkan hasil pertanian musnah. Ketika krisis kebuluran 2011, lebih suku juta orang terkorban.

Kini selepas begitu banyak siri serangan Al Syabab yang mengisytiharkan sokongan pada Daesh, Mogadishu menjadi bandar paling berbahaya di dunia. Serangan senjata berat serta siri pengeboman di lokasi awam adalah ancaman di luar kawalan.

Wartawan TV AlHijrah & Aktivis Masuki Mogadishu

Hari ni wartawan TV AlHijrah, Syafik Azman dan empat aktivis Islamic Relief Malaysia (IRM) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, akan terbang dari Turki memasuki Mogadishu.

Suasana Mogadishu tegang hampir setiap hari. Bunyi tembakan di seluruh bandar ini dianggap lazim. Namun, ancaman itu tidak melemahkan semangat IRM untuk terus menghulurkan bantuan kepada rakyat somalia.

“Krisis kebuluran berlarutan disebabkan kemarau berpanjangan. Separuh daripada 12 juta rakyat Somalia kebuluran dan kematian dilaporkan saban hari,” kata Zairulshahfuddin.

Wartawan TV AlHijrah & Aktivis Masuki Mogadishu

Selain enam juta penduduk Somalia, 18 juta penduduk timur Afrika kini turut mengalami krisis kebuluran serius.

IRM menjalankan misi kemanusiaan ke Somalia bagi meninjau secara dekat krisis di wilayah tersebut.

Selain memantau projek kemanusiaan di sana, misi ini juga akan memberi gambaran lebih jelas kepada penderma Malaysia mengenai kerja kemanusiaan yang sedang dan akan dijalankan IRM.

“Misi ini bertujuan mengaudit, memantau dan melihat kaedah terbaik menyalurkan bantuan yang diberikan rakyat Malaysia,” kata Zairulshahfuddin.

Wartawan TV AlHijrah & Aktivis Masuki Mogadishu

IRM bekerjasama dengan Islamic Relief Somalia bagi melaksanakan misi ini. Sejak dilancarkan dua bulan lalu, RM200 ribu sumbangan rakyat Malaysia melalui Tabung Rayuan Krisis Afrika Timur disalurkan membantu mangsa kebuluran di Habsyah, Sudan dan Kenya.

TV AlHijrah juga akan melancarkan edaran Bubur Lambuk Go Global di sekitar Mogadishu. Selain itu, kempen bubur lambuk turut dijalankan di Beirut, London, Cologne, Kerala, Aceh dan Singapura. Laporan harian perjalanan Syafik Azman boleh diikuti di Berita AlHijrah setiap 8.00 malam. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Terkini dari Alhijrah Frenz

Go to Top