Shila Amzah Dilantik Duta Pelancongan Malaysia

PENYANYI Shila Amzah yang kini semakin melebarkan sayapnya di negara China telah diumumkan menjadi Duta Pelancongan Negara seperti mana yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada Anugerah Pelancongan Malaysia ke-19, malam Rabu.

Penggiat Industri Pelancongan Perlu Manfaatkan Ketibaan Pelancong

Tujuan utama pemilihan artis tersebut adalah kerana pengaruh beliau yang diyakini mampu menarik jutaan pelawat dari Tanah Besar China untuk merasai sendiri pengalaman melancong dan bercuti di Malaysia.

Shila yang kini berusia 26 tahun yang merupakan anak kepada penyanyi ND Lala memulakan karier seni suaranya sejak dari zaman persekolahan sehingga namanya kini dijulang peminat dari Malaysia dan China.

Si manis berhijab ini mula mendapat perhatian penduduk di sana selepas menyertai program realiti, Asian Wave sehingga berjaya juara yang dianjurkan sebuah stesen televisyen di Shanghai, China, empat tahun lalu.

Bertitik tolak daripada kejayaannya itu, Shila mula mengatur langkah berani dengan sanggup berhijrah ke China untuk melebarkan karier nyanyiannya di negara yang paling ramai penduduk di planet bumi tersebut.

Salah satu kelebihan yang ada pada Shila ialah beliau mahir berkomunikasi bahasa Mandarin sekali gus mudah baginya untuk berurusan dengan pihak pengurusan dan peminat di sana.

Apa-apa pun semoga Shila dapat menggalas tugasnya dengan sebaik mungkin sebagai Duta Kecil Malaysia sekali gus menggalakkan kadar pertumbuhan tinggi pelancong China ke negara kita sepanjang tahun ini!

Tahniah Shila! – MYNEWSHUB.CC

Loading...