‘Hari Kemenangan’ Single Terbaru Hari Raya Datuk Siti

PENYANYI Nombor 1 tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin melalui laman sosialnya mengumumkan mengeluarkan lagu baharu bersempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Jika dihitung waktu, rasanya sudah sedekad penyanyi tersohor ini tidak mengeluarkan single hari raya. Namun tahun ini penyanyi pujaan ramai ini kembali dengan single terbaharu hari raya berjudul ‘Hari Kemenangan’.

Menerusi catatan yang dimuat naik oleh Datuk Siti di Facebook dan Instagram miliknya, single terbaharu itu merupakan ciptaan sepenuhnya daripada komposer terkenal tanah air iaitu Pak Ngah.

'Hari Kemenangan' Single Terbaru Hari Raya Datuk Siti

“Kami sangat teruja apabila dapat bekerjasama semula setelah 10 tahun.

“Istimewanya lagu hari raya kali ini, kami sepakat tidak lagi mahu gunakan bait-bait klise seperti ketupat lemang, juadah, bertandang dan sebagainya.

“Tetapi liriknya lebih berat namun masih sesuai untuk suasana hari raya,” kata Datuk Siti kepada sebuah portal.

Walaupun baharu sehari ia dilancarkan iaitu pada 20 Jun lalu, single tersebut telah menduduki carta teratas iTunes Malaysia.

Malah single terbaharu itu juga telah mendapat perhatian daripada warga Malaysia dan peminat Datuk Siti yang berada nun jauh di Belanda.

Sebuah video yang dimuat naik oleh Rumpun Records menunjukkan mereka menyanyikan single terbaharu itu.

Selain itu, mereka turut mendedikasikan lagu tersebut kepada Pak Ngah dan Datuk Siti sendiri. Video berkenaan telah ditonton oleh lebih 3.8 ribu penonton.

Rata-rata yang sudah mendengar lagu tersebut memuji dan suka dengan single terbaru daripada Datuk Siti itu.

Salah seorang peminat Datuk Siti, Aarol Arjunaidy berkata: “Ini baru lagu raya. Sedap dengar.”

Manakala ini pula komen daripada Salnucy Nucy: “Wah meremang bulu roma aku… mood nak raya dah maii… anyway salam nuzul al-Quran semua…,” tulisnya. – MYNEWSHUB.CC

Loading...