Fazura Kejar Yang Terbaik, Bukan Populariti

TAHNIAH diucapkan buat pelakon jelita Nur Fazura Sharifudin yang berjaya memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) yang pastinya menjadi rebutan anak seni yang mengabadikan diri dalam bidang seni lakonan tempatan.

Menerusi watak Ifti Liyana dalam Manisnya Cinta Di Cappadocia, Fazura menewaskan empat pencabarnya, Lisa Surihani (Dendam Orang Mati), Dawn Cheong (Cuak), Maya Karin (Sejoli) dan Sara Ali (Kami Histeria).

Fazura yang manis berbusana gaun hijau kebiru-biruan rekaan Rizman Ruzaini berkata kejayaannya itu akan dijadikan pembakar semangat buatnya untuk lebih memberikan yang terbaik dalam karier lakonannya.

“Kejayaan ini meletakkan saya sendiri ke satu tahap yang lebih baik. Sekurang-kuranya trofi idaman ramai ini pernah berada dalam genggaman saya. Jadi apa jadi selepas ini, andai saya berkahwin atau bersara, siapa tahu bukan, hakikatnya cukup saya pernah melakar jaya. Saya sudah cukup gembira.

“Anugerah ini milik Allah, ia akan jadi pembakar semangat. InsyaAllah saya akan terus berkongsi bakat yang ada.

“Anugerah ini sentiasa dinanti-nantikan oleh semua pelakon dan Alhamdulillah selama saya berkecimpung dalam industri inilah anugerah yang terbaik pernah saya terima kerana ini bukanlah anugerah yang melibatkan populariti tetapi hasil kerja kita yang terbaik dan dinilai oleh juri,” katanya memetik laporan Rotikaya dan Berita Harian.

Selain tercalon dan menang dalam kategori utama itu, nama aktres ini turut tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi naskhah Kami Histeria.

Walau bagaimanapun, trofi itu berjaya menjadi genggaman aktres berbakat besar, Nadiya Nisaa menerusi lakonan cemerlang yang dipaparkannya dalam Terbaik Dari Langit arahan pengarah muda, Nik Amir. – MYNEWSHUB.CC

nadiya
Nadiya Nisaa bersama trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM 27.

Loading...