Awas Taktik Sindiket Curi Data Peribadi!

GOMBAK – Berhati-hati apabila anda diminta untuk mendedahkan butiran peribadi kerana ia mungkin akan berakhir di tangan sindiket pencuri data.

Terbaharu seorang pesara, Liang Ngan Kan, 73, mendapati dirinya telah berhutang bil pascabayar walaupun tidak pernah memiliki telefon bimbit.

Beliau kini berhutang sebanyak RM1,800 dengan syarikat telekomunikasi selepas butiran peribadinya dieksploitasi oleh pihak tidak dikenali dengan cara mendaftarkan beberapa nombor pascabayar, lewat tahun 2015.

Isterinya, Mariamah Anamalai, 62, dan kakak iparnya, Papati, 66, juga mula menerima bil walaupun mereka tidak mempunyai akaun dengan syarikat tersebut.

Anak perempuan Ngan Kan, Kasthuri, 32, terkejut orang seperti bapanya yang tidak mempraktikkan penggunaan telefon bimbit berdepan dengan caj tinggi perkhidmatan yang tidak pernah dilanggannya.

Beliau membuat laporan polis bagi pihak ibu bapanya dan ibu saudaranya, tetapi memutuskan untuk tidak membawa kes itu ke mahkamah.

“Kami membuat keputusan untuk mengabaikan bil-bil itu kerana banyak urusan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa saya yang sudah tua,” kata Kasthuri kepada  The Star  semasa melawat keluarganya di sebuah flat kos rendah di Taman Prima Selayang, Batu Caves, baru-baru ini.

Ibu bapa dan ibu saudaranya hanyalah tiga daripada 15 orang dari kawasan kediaman yang sama yang membuat aduan tersebut.

Setiap mangsa mempunyai satu nombor prinsipal dan beberapa nombor tambahan yang didaftarkan di bawah nama mereka.

Arokiasamy Thomas, 86, membuat dua laporan polis selepas mula menerima bil pada pertengahan 2015.

Bil-bil itu yang tiba setiap bulan, telah membuatkan Arokiasamy ‘berhutang’ beribu-ribu ringgit.

Selama dua tahun, beliau menerima surat-surat agresif dan panggilan daripada agensi pengutip hutang, mengancam tindakan undang-undang terhadapnya jika gagal menyelesaikan tunggakan.

Mangsa lain juga menerima panggilan dan mesej yang sama.

Seorang lagi mangsa ialah ibu tunggal, Renukah Doraisamy, 40, yang berniaga di gerai di Taman Prima Selayang.

“Kebanyakan mangsa sama ada bersara, menganggur atau bergaji rendah.

“Mereka (pengutip hutang) selalu menghubungi kami. Ia menyebabkan kami mengalami banyak tekanan,” katanya.

Mangsa berkata pelbagai organisasi akan datang ke kawasan perumahan kos rendah untuk memberi sumbangan, seperti beras dan peruntukan lain.

Untuk menerima barangan itu, penduduk terpaksa memberi salinan kad pengenalan mereka.  Mereka mengesyaki cara tersebut menjadi punca bagaimana maklumat peribadi mereka jatuh ke tangan orang yang salah.

Lapan daripada mangsa, termasuk Arokiasamy dan Renukah, telah membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya pada 8 Jun.

Kes-kes tersebut telah diselesaikan.  Pembekal perkhidmatan mengesahkan bahawa pendaftaran untuk akaun pascabayar itu adalah tidak sah.

“Ini telah dikelaskan sebagai penipuan,” wakilnya menulis dalam e-mel.  Pembekal perkhidmatan berkata pihaknya akan mengetepikan bil-bil yang belum dibayar untuk akaun tersebut.

Dalam satu temu bual, ketua penguatkuasa dan penyelidik SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun menyifatkan kes di Taman Prima Selayang dilakukan oleh ‘sindiket yang didorong oleh keuntungan untuk mencuri data peribadi”. –  mStar Online