UM Nafi Beri Gelaran Doktor Kepada Azizan Osman

MUNGKIN ini kejutan kepada pengikut pakar motivasi keusahawanan terkenal apabila sebuah universiti menafikan dakwaan pernah menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan Osman.

Dalam kenyataan hari ini, Universiti Malaya (UM) menjelaskan dakwaan bahawa status yang membawa gelaran Doktor tersebut yang konon pernah dianugerahkan kepada Azizan adalah tidak benar.

“Pihak universiti dengan ini menegaskan bahawa kami tidak pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Encik Azizan Osman,” katanya dalam kenyataan.

Menurut UM, penjelasan tersebut diharap dapat menjawab banyak kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung status Doktor diguna pakai oleh pakar berkenaan selama ini.

Sebelum ini, pengguna media sosial pernah kecoh mengenai kelulusan yang diterima Azizan hingga menimbulkan keraguan.

Usahawan berusia 35 tahun itu mendakwa memiliki Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Sarjana Pemasaran University of Florida, Ijazah Doktor Falsafah Sains Metafizik, Gordon University, Florida serta beberapa universiti tempatan dan luar negara.

 UM Nafi Beri Gelaran Doktor Kepada Azizan Osman

Netizen turut meragui kelulusan Azizan selepas memaparkan kelayakan kelulusan PhD Kehormat di profil syarikatnya yang didakwa diterima daripada UM.

Kejayaan Azizan sebagai jurulatih pemasaran nombor satu di Malaysia mendapat perhatian selepas misi beliau membantu pemilik perniagaan lain mencapai potensi diri dan kejayaan dalam industri masing-masing menerusi penganjuran program kejayaan, kekayaaan dan keusahawanan seluruh negara. – MYNEWSHUB.CC

Loading...