Penyanyi Yasin Sulaiman Sertai Deklarasi Anak Muda Pakatan Harapan?

KUALA LUMPUR – Selepas gagal mencapai hasrat menumbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui satu deklarasi pada 4 Mac lalu yang kononnya dikenali sebagai ‘deklarasi rakyat’, Pakatan Harapan mahu melancarkan satu lagi deklarasi bagi tujuan sama.

Mynewshub.cc difahamkan, Pakatan Harapan mahu melancarkan satu lagi deklarasi di Dewan Kelab Sultan Sulaiman pada pukul 3 petang esok yang kali ini mereka gelar sebagai ‘deklarasi rakyat anak muda’

“Koordinator bersama, Afif Bahardin (Parti Keadilan Rakyat) dan Syed Saddiq (aktivis pembangkang) mengambil inisiatif untuk melancarkan `deklarasi anak muda’ Deklarasi ini bertujuan memberikan platform kepada anak-anak muda menyelamatkan tanah air,” kata penganjur deklarasi itu dalam satu surat jemputan kepada media hari ini.

Deklarasi yang ditandatangani 4 Mac lalu merupakan cubaan Pakatan Harapan mengelirukan orang ramai kononnya ia deklarasi rakyat sedangkan ia cuma satu surat amarah pemimpin pembangkang dan kumpulan anti-kerajaan termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad,

‘Deklarasi anak muda’ yang mahu dimeterai esok juga dijangka hanya menampilkan pemimpin-pemimpin muda Pakatan Harapan daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) untuk mengecam kerajaan Malaysia.

Penganjur deklarasi anti-kerajaan itu bagaimanapun mendakwa deklarasi berkenaan akan turut disertai penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman dan beberapa wakil Pemuda UMNO. – Mynewshub.cc

Loading...