Taman Rama-Rama Entopia Bakal Dibuka Bulan Depan

BALIK PULAU – Entopia yang dahulu dikenali sebagai Taman Rama-Rama Pulau Pinang di Teluk Bahang dekat sini akan dibuka kepada umum pada 2 Mei ini selepas selesai projek pembangunan semula bernilai RM50 juta.

Ia yang diuruskan Butterfly House Penang Sdn Bhd bakal menjadi taman hidupan bagi rama-rama, sibur-sibur dan kelip-kelip pertama di dunia.

Taman tersebut ditutup untuk kerja-kerja pembangunan semula sejak 8 Mac tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joseph Goh berkata projek itu mempunyai dua fasa yang setiap fasa hampir 90 peratus siap dan dijangka siap sepenuhynya pada Mei ini.

“Kami memperluas kawasannya daripada kira-kira 30,000 kaki persegi kawasan asalnya kepada lebih 100,000 kaki persegi sekarang untuk menempatkan lebih 15,000 jenis rama-rama daripada kira-kira 100 spesies.

“Selepas pembukaan pada Mei ini, fasa kedua akan diteruskan pada 2019 yang secara keseluruhan bakal memiliki kemudahan kira-kira 140,000 kaki persegi,” katanya kepada pemberita yang dibawa melawat taman tersebut.

Joseph berkata semasa pelancaran awal, tiket berharga RM39 bagi orang dewasa dan RM23 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun akan dikenakan.

Beliau berkata pelancaran rasmi akan diadakan pada 8 Jun dengan tiket berharga RM49 bagi orang dewasa, RM29 bagi kanak-kanak dan warga emas berumur 60 tahun ke atas sementara bagi golongan orang kurang upaya adalah percuma. – BERNAMA

Loading...