Do Dong-Hyun Pemain Import Kedua Kelantan

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus memperkuatkan jentera serangan skuad The Red Warriors apabila mendapatkan khidmat pemain dari Korea Selatan, Do Dong-hyun sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan berkata KAFA mengikat kontrak selama dua tahun pemain berusia 23 tahun itu yang pernah mewakili North East United Football Club, East Bengal Football Club (India) dan Gifu Football Club (Jepun).

“Pada musim ini, Dong-hyun mewakili pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTMFC) yang beraksi dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (Liga FAM) sebagai pemain tengah.

“Panel kejurulatihan yang ditugaskan memilih pemain, tertarik dengan pengalaman serta kelebihan dimiliki Dong-hyun kerana beliau boleh bermain di posisi penyerang, sayap dan tengah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dong-hyun merupakan pemain import kedua The Red Warriors, selepas KAFA mengekalkan khidmat Margaro Gomis yang beraksi bersama pasukan itu pada musim ini.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata KAFA masih mengadakan rundingan dengan ejen kepada Syedi L Imam, selepas pemain itu gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran pemain import daripada Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) musim ini.

“Jika diikutkan pemain itu masih mempunyai baki kontrak selama setahun dengan KAFA walaupun dia tidak dapat beraksi kerana gagal mendapatkan kelulusan pendaftaran musim ini.

“Bagaimanapun, KAFA masih mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan termasuk dengan ejen pemain tersebut agar Imam dapat beraksi dengan The Red Warriors pada musim depan,” katanya. – BERNAMA

Loading...