SATU PERUBAHAN

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

DPMM Pahang Perlu Menukar Cara Pemikiran

in Terkini

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menggesa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang untuk menukar cara pemikiran bagi memiliki impian lebih besar termasuk mewujudkan intitusi kewangan sendiri.

Baginda bertitah impian besar seperti itu tidak mustahil boleh direalisasikan oleh DPMM Pahang sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh beberapa badan berdaya saing di negara ini.

“Di rantau Asia Tenggara terdapat 650 juta orang penduduk dan kenapa kita tidak melihat bagaimana untuk menembusi pasaran besar ini berbanding hanya di negara sendiri.

“Namun untuk melakukannya kita perlu merancang dengan betul, berani, mempunyai kepakaran, kewangan yang kukuh dan lebih mustahak jaringan rangkaian untuk digunakan sebaik mungkin.

“DPMM mungkin nanti dapat menubuhkan bank atau institusi kewangan seperti dilakukan oleh Tabung Haji atau Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)…ia satu impian yang besar tetapi tidak mustahil,” titah baginda pada Majlis Santapan DPMM Pahang di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Pengerusi Pertubuhan Peladang negeri (Pasfa) Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid dan Yang Dipertua DPMM Pahang, Yusri Yusof.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada beberapa individu yang menerima pengiktirafan DPMM Pahang sebagai penghargaan kepada jasa dan usaha mereka menerusi Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Usahawan Harapan Kategori Lelaki dan Wanita serta Tokoh Usahawan DPMM.

Tengku Abdullah seterusnya bertitah supaya usahawan bumiputera yang ‘baharu naik’ untuk lebih fokus kepada perniagaan berbanding politik kerana situasi itu mampu menjatuhkan mereka dengan mudah.

“Kalau hendak berpolitik sekali pun biarlah perniagaan kita sudah berjaya dan kukuh. Jangan masuk politik dengan niat untuk mencari duit. Jika semua hendak masuk politik jadi siapa yang akan menjalankan perniagaan?

Saya sering menasihatkan mereka yang terlibat supaya menumpukan satu bidang sahaja, jika mahu berpolitik fokus kepada politik…jika mahu berniaga fokuslah kepada perniagaan,” titah baginda.

Baginda juga menasihatkan usahawan bumiputera yang sudah berjaya dapat mengekalkan nilai-nilai murni dalam diri dan cuba membantu fakir miskin di negeri ini dengan sebaik mungkin.

“Janganlah juga kita sombong atau dengki kepada orang lain yang lebih maju sama ada sesama bangsa mahupun bangsa lain,” titahnya.

Sementara itu, Yusri berkata DPMM Pahang menyambut baik cabaran yang dititahkan Tengku Abdullah dan berikrar untuk melaksanakannya dengan gigih untuk mencapai impian besar tersebut.

“Cabaran ini amat baik bagi kepimpinan dan ahli DPMM Pahang kerana menyedarkan kita agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan diri sendiri serta perniagaan.

Bagi impian besar seperti mewujudkan satu institusi kewangan, saya percaya ia boleh dilakukan tetapi usaha tersebut memerlukan waktu yang panjang dan mungkin hasilnya dapat dinikmati oleh anak cucu kita nanti,”katanya.

Buat masa ini DPMM telah merancang pelbagai projek untuk membantu anggotanya, antaranya ialah menyediakan tapak perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Batu Enam di sini dengan kadar sewa berpatutan,” katanya. – BERNAMA

Terkini dari Terkini

Go to Top