SATU PERUBAHAN

Fasa Ketiga Taman Tema Escape Dibuka Akhir 2018

in Terkini

GEORGE TOWN – Fasa ketiga Taman Tema Escape di Teluk Bahang dekat sini, dijangka dibuka kepada orang ramai pada Disember tahun depan, menurut Ketua Pegawai Escape Sim Choo Kheng.

Beliau berkata pembinaan gelongsor air sepanjang satu kilometer dijangka menjadi tarikan utama untuk fasa ketiga itu dikenali sebagai ‘Gravityplay’.

“Kita akan gunakan topografi semula jadi sebab ada bukit di kawasan itu. Perbezaan dari bawah ke atas bukit lebih kurang 70 meter. Kita mempunyai satu kecerunan yang sesuai untuk pembinaan gelongsor air terbuka itu.

“Di kawasan itu, sudah ada fasa pertama iaitu ‘Adventureplay’ dan kita tambah lagi tarikan ‘Gravityplay’ di kawasan seluas 2.83 hektar. Kita memang sudah siap dengan reka bentuk.

Kita akan mulakan dengan pembinaan jambatan dan kereta kabel,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian fasa kedua Taman Air Escape ‘Waterplay’ oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng, di sini hari ini.

Sebanyak 20 tarikan di taman air itu seperti ‘water slide’, ‘lazy river’, ‘speed racer’ dan ‘waveball’ di kawasan seluas 4.45 hektar berkenaan.

Sim berkata 170,000 orang mengunjungi taman tema itu tahun lepas dan pihaknya menjangkakan jumlah itu meningkat kepada 350,000 pada tahun depan, selepas pembukaan taman air berkenaan.

“Kita mahu Escape menjadi tarikan pengunjung datang ke Pulau Pinang. Saya amat gembira sebab ramai yang menyedari bahawa kejayaan Escape akan memajukan industri pelancongan dan memberi banyak manfaat kepada semua golongan masyarakat di Teluk Bahang.

“Escape berpegang kuat pada janji kami untuk memajukan Teluk Bahang ke arah memberi kesan positif untuk menjamin masa depan generasi muda,” katanya.

Fasa pertama Taman Tema Escape ‘Adventureplay’ dengan 17 tarikan membolehkan pengunjung kembali ke zaman kanak-kanak dengan aktiviti lasak seperti memanjat pokok, meneroka terowong, berlumba menggunakan tiub serta cabaran di awangan seperti ‘flying fox’ dan ‘kite flyers’. – BERNAMA

Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top