SATU PERUBAHAN

Hampir 20 Hektar Hutan Di Jalan Nenasi Rompin Terbakar

in Terkini

PEKAN – Hampir 20 hektar kawasan hutan di Jalan Pekan-Nenasi-Rompin dari Tanjung Batu hingga ke Sungai Miang, Nenasi musnah dalam kebakaran yang berlaku sejak lebih seminggu lalu dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Balai Bomba Nenasi Mohd Fadzirllah Zainal Abidin berkata siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada perbuatan penagih dadah membuang putung rokok di kawasan hutan itu yang diburukkan lagi oleh keadaan cuaca kering.

“Bomba mengesan kebakaran ini bermula di Ladang Agrobest, Nenasi dan telah melaporkan perkara ini kepada Balai Polis Nenasi bagi membantu mengesan pelaku serta mengawasi persekitaran agar perbuatan membakar semak atau hutan secara terbuka tidak berulang,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang berusaha memadamkan kebakaran tersebut sambil melakukan pemantauan.

“Kawasan-kawasan yang mengalami kebakaran ini akan terus dipantau untuk mengelakkan ia merebak ke kawasan berhampiran kerana kebakaran di kawasan tanah gambut sukar dipadam dengan segera dan mudah berulang,” katanya.

Sementara itu, beberapa pengguna Jalan Pekan-Rompin berhampiran Nenasi di sini dilihat mengambil inisiatif mengalihkan pokok yang tumbang merintangi jalan akibat kebakaran hutan tersebut.

Mohd Fahim Azim Mohd Azhar, 24, berkata dia mengambil keputusan memberhentikan kenderaannya selepas melihat seorang pemandu kereta lain sedang berusaha mengalihkan pokok berkenaan.

“Saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Rompin dari Kemaman, sebaik tiba di kawasan ini jarak penglihatan semakin terhad sebelum mendapati ada pokok tumbang dan merintangi jalan.

“Saya turut turun membantu… mujur saiz pokok itu tidak terlalu besar jadi dapatlah kami menariknya ke tepi jalan,” katanya ketika ditemui di sini.

Kebakaran itu turut menyebabkan kawasan sepanjang jalan berkenaan diselubungi asap yang mengehadkan jarak penglihatan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam memandangkan tiada lampu jalan.

“Ini merupakan jalan utama yang menjadi pilihan pengguna dari sebelah Pantai Timur yang ingin ke Johor, begitu juga pengguna dari negara jiran Singapura yang ingin ke Pantai Timur.

“Jadi situasi terkini menambah risiko bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya kepada mereka yang tidak biasa melalui jalan ini,” kata Mohd Fahim. – BERNAMA

Tags:

Terkini dari Terkini

Go to Top