Kes Kemalangan Di Tempat Kerja Di Malaysia Menurun

IPOH – Kes kemalangan di tempat kerja di negara ini menunjukkan kadar penurunan sejak beberapa tahun lepas sekali gus membuktikan tahap kesedaran pihak majikan dan pekerja berhubung perkara itu semakin meningkat.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Mohtar Musri berkata, penurunan itu, yang dilaporkan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan satu petanda positif berhubung tahap keselamatan di tempat kerja bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Bagi tahun 2014, kadar kemalangan adalah 3.10 per 1,000 pekerja manakala pada tahun 2013 sebanyak 3.28 per 1,000 pekerja. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 5.49 peratus iaitu anggaran sebanyak 2,000 hingga 3,000 kes kemalangan.

Kadar penurunan ini merupakan hasil kerjasama majikan, pekerja, agensi kerajaan, persatuan dengan pihak kita dalam mengurangkan kemalangan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) serta Penutupan Bagi Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2015 peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Hotel Casuarina di sini hari ini. – BERNAMA

 

Loading...