SATU PERUBAHAN

KKM Kaji Keperluan Masukkan Vaksin Pneumokokal Dalam NIP

in Terkini

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat kajian bagi melihat sama ada terdapat keperluan mendesak untuk memasukkan vaksin pneumokokal (PnD) dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pihaknya akan membawa cadangan itu kepada Bahagian Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan dan jika kajian mendapati memang ada keperluan, KKM akan memasukkan ia dalam NIP.

“Setakat ini belum ada keperluan untuk memasukkan vaksin itu dalam NIP dan kami akan membuat kajian secara menyeluruh untuk melihat keperluan sebenar serta sama ada banyak kes membabitkan penyakit pneumokokal dan jika memang terbukti ia (vaksin PnD) diperlukan kementerian akan senaraikan dalam NIP.

“Ketika ini menerusi NIP, setiap kanak-kanak bermula dari bayi yang baru dilahirkan akan menerima beberapa suntikan vaksin bagi mencegah 13 jenis penyakit berbahaya dan setiap tahun kerajaan pusat membelanjakan sebanyak RM120 juta bagi program itu (NIP),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Terbuka Perumahan Polis Bayan Indah di Bayan Lepas, dekat sini hari ini.

Dewan yang dibina sejak 6 Nov lepas itu siap sepenuhnya pada Februari lalu membabitkan kos RM200,000. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik.

Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Perikatan Strategik Asia bagi Penyakit Pneumokokal (ASAP) Datuk Dr Zulkifli Ismail yang mahu vaksin PnD dimasukkan dalam NIP supaya lebih ramai orang mendapat keperluan penjagaan kesihatan asas dan mencegah kanak-kanak di bawah dua tahun mengalami penyakit PnD.

Dr Zulkifli dilaporkan berkata sehingga hari ini, lebih 136 negara sudah memasukkan vaksin PnD dalam NIP mereka, manakala Malaysia adalah satu daripada 54 negara yang belum menyenaraikan vaksin PnD dalam jadual NIP.

Penyakit PnD merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus Pneumoniae, juga dikenali sebagai pneumokokus dan ia biasanya ditemui dalam saluran pernafasan kanak-kanak serta disebarkan melalui batuk atau bersin. Penyakit PnD juga boleh menjejaskan upaya seseorang kanak-kanak normal hingga mengalami terencat mental, pekak, lembam dan lumpuh.

Sementara itu, Dr Hilmi menasihati ibu bapa untuk memastikan setiap anak menerima imunisasi lengkap bagi mengelak dan melindungi kanak-kanak daripada terkena jangkitan sebarang penyakit boleh dicegah vaksin.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk memastikan anak-anak mereka menerima imunisasi kerana ia dapat mencegah kejadian penyakit berjangkit dan mencegah wabak yang serius malah semua vaksin yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan adalah halal,” katanya. – BERNAMA

Terkini dari Terkini

Go to Top