Mari Bincang, Perangi Kemurungan Demi Kesihatan

KUALA LUMPUR – Dengan kes kemurungan di Malaysia meningkat hampir 30 peratus dalam masa lima tahun ini, sudah tiba masanya bagi rakyat Malaysia mempunyai perasaan empati dan membantu mereka yang menghidap penyakit itu.

Hari Kesihatan Sedunia, yang disambut hari ini dengan bertemakan tentang kesedaran kesihatan sejagat, memberi tumpuan kepada kemurungan yang merupakan punca bagi kemerosotan kesihatan dan rasa hilang upaya.

Justeru itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menggesa mereka yang menghidapi kemurungan supaya mendapatkan bantuan.

“Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya memahami dengan lebih mendalam lagi tentang aspek kesihatan mental di mana ia sebenarnya adalah sama penting seperti aspek kesihatan fizikal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata sesiapa sahaja boleh terkesan dengan kemurungan sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda, tanpa mengira bangsa, keturunan atau negara.

Menurutnya ramai yang mengalami kemurungan telah mendapatkan bantuan tetapi ramai lagi yang menghidapi penyakit itu tidak mendapatkan bantuan sewajarnya.

Hari Kesihatan Sedunia 2017, yang diraikan pada setiap 7 April bagi memperingati penubuhan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bertemakan “Kemurungan: Mari Bincang”.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan Mental dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan sebanyak 1.8 peratus dalam kalangan dewasa berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan manakala kajian sama pada 2015 menunjukkan 29.2 peratus dalam kalangan dewasa berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental.

WHO mendapati lebih 300 juta orang kini hidup dalam kemurungan, yang meningkat lebih daripada 18 peratus di antara 2005 dan 2015.

Dr. Noor Hisham berkata masyarakat awam perlu bersikap terbuka dengan memahami kemurungan dan memberi sokongan kepada individu yang menghidapinya, dan pada masa sama, individu yang kemurungan perlu terbuka untuk mendapatkan bantuan atau rawatan serta bercakap mengenai keadaan yang mereka hadapi.

“Peranan ahli keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja juga amat penting bagi membantu golongan yang mengalami kemurungan untuk berbincang, membantu dan memberikan sokongan kepada golongan ini untuk pulih.

“Ini penting bagi menangani stigma dalam kalangan masyarakat terhadap masalah kesihatan mental,” katanya.

Menegaskan penyakit kemurungan boleh dicegah dan dirawat, Dr. Noor Hisham berkata:

“Bercakap, berbincang dan meluahkan perasaan kepada orang yang anda percaya adalah satu komponen penting dan merupakan langkah pertama ke arah pemulihan kemurungan.” – BERNAMA

Loading...