MyBas JB Pelengkap Perkhidmatan Bas Sedia Ada

ISKANDAR PUTERI – Perkhidmatan MyBas Johor Bahru yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat dilihat akan menjadi pelengkap kepada operasi pengangkutan bas awam sedia ada seperti Bas Muafakat Johor (BMJ) dan Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) di sini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha pengenalan MyBas ini juga selari dengan Dasar Pengangkutan Awam Kerajaan Negeri melalui Pelan Suara Hati Johor untuk menyediakan pengangkutan awam di lokasi-lokasi terpencil dengan peruntukan sebanyak RM90 juta.

“Terdapat 249 buah bas yang akan beroperasi di seluruh negeri Johor dengan kawasan tumpuan laluan yang tidak digunakan oleh perkhidmatan bas awam sebelum ini.

“Ini sekaligus akan meningkatkan liputan perkhidmatan bas awam sedia ada sebanyak 30 peratus dengan kekerapan 20 minit bagi setiap selang perjalanan,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti Johor Bahru antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Handal Indah Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Pengerusi SPAD Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani.

Mohamed Khaled berkata peruntukan sebanyak RM90 juta berkenaan akan dibiayai oleh kerajaan pusat setiap tahun untuk tempoh lapan tahun bagi memastikan operasi bas itu berjalan dengan lancar.

“Ini satu tawaran yang sangat baik kepada rakyat kerana ia selari dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peluasan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari jajaran Yong Peng ke Johor Bahru akan dinaik taraf daripada 4 lorong kepada 6 lorong.

“Ini merupakan salah satu perkara yang kita harap rakyat dapat pertimbangkan untuk dilaksanakan selepas Pilihanraya Umum ke -14 (PRU14) nanti,” katanya.

Sementara itu, Mohd Isa berkata kerajaan persekutuan pada Januari 2017 telah meluluskan dana bagi pelaksanaan perkhidmatan MyBas di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang merangkumi semua laluan utama dan juga laluan sosial di sekitar ibu negeri-ibu negeri seluruh Malaysia.

“MyBas ini akan beroperasi seawal suku ketiga 2018 ini dengan Fasa 1 MyBas Johor Bahru melibatkan 68 buah bas beroperasi di enam laluan utama ke Setia Indah Hab, Kempas, Ulu Tiram, Gelang Patah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dengan jarak terkumpul 4.3 juta kilometer (km) setahun,” kata beliau

Sementara itu, Fasa 2 akan dilaksanakan selepas tiga bulan kemudian yang akan mempunyai jarak terkumpul 6.6 juta km setahun yang merangkumi tujuh laluan utama ke Permas Jaya, Selesa Jaya, Taman Universiti, Pulai Indah, Larkin , Taman Tan Sri Yaakob dan Pasir Gudang.

Fasa 3 pula dijangka mempunyai lapan laluan utama dan enam laluan perantara bagi laluan yang berjarak 5.8 juta km setahun merangkumi perkhidmatan MyBas dari Johor Bahru ke Terminal Kota Masai, Terminal Pasir Gudang, Bukit Indah, Taman Flora Height, Bakar Batu, Seri Alam dan Johor Premium Outlet.

Menurutnya lagi, pihaknya juga akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik, selaras dengan komitmen Malaysia untuk menurunkan kadar pelepasan karbon ke alam sekitar sehingga 45 peratus pada tahun 2030.

Sebanyak 30 buah bas elektrik akan digunakan di Johor Bahru yang dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan dan moden termasuk WiFi percuma. – BERNAMA

Loading...