Nirmala Bonat Menang Saman Terhadap Majikan

Masih ingatkah lagi dengan kes penderaan terhadap pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat?

Pada tahun 2004, negara digemparkan dengan kes tersebut apabila majikannya, Yim Pek Ha dan suami, Hii Ik Tiing didakwa mendatangkan kecederaan kritikal secara sengaja terhadap wanita itu.

nirmala-bonat

Sepuluh tahun menanti keadilan, akhirnya keputusan Mahkamah Tinggi menyebelahi Nirmala apabila dia menang kes saman sivil dan menerima tuntutan ganti rugi berjumlah RM 139,147,20.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S Hassan Badjenid membenarkan saman Nirmala terhadap pasangan majikannya itu dan memerintahkan mereka membayar kos RM 10 ribu yang termasuk dalam kos ganti rugi itu.

Jumlah tersebut meliputi keseluruhan kecederaan yang ditanggung Nirmala termasuk di bahagian kepala, lengan, muka, perut, mulut hidung serta tekanan emosi yang dihadapinya.

Namun, mahkamah menolak permohanan Nirmala bagi mendapatkan tuntutan berhubung perbelanjaan ubatan, kehilangan upaya mencari pendapatan dan perbelanjaan pengangkutan kerana tidak dibuktikan plaintif.

Siti Khadijah dalam penghakiman bertulisnya berkata, Nirmala mengalami kecederan fizikal dan kesengsaraan yang ditanggung, mengakibatkan wanita itu mengalami tekanan emosi pada masa kejadian.

Sebagai manusia sesiapa sahaja dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung apabila seterika panas diletak pada kedua-dua belah payudaranya dan bahagian belakang.

Nirmala juga menanggung kesakitan setiap kali memakai baju dan colinya dan beliau sakit apabila luka itu terkena air semasa mandi dan tidak mendapat rawatan selain memakan panadol sahaja.”

Selain itu, Nirmala terpaksa menanggung malu kerana bahagian sulitnya terpaksa ditayangkan kepada umum termasuk jurugambar dan mahkamah.

Prosiding yang diadakan semalam itu turut dihadiri Yim yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang.

Menyingkap kembali peristiwa tersebut, Nirmala bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman pasangan itu yang terletak di Villa Putera, Taman Tun Ismail pada September 2003.

Walau bagaimanapun, dia telah didera oleh majikannya Yim, antaranya melekapkan seterika panas di beberapa bahagian tubuh Nirmala dan juga menyiram mangsa dengan air panas.

Pasangannya, Hii pula tidak menghalang perbuatan yang dilakukan Yim, malah tidak memberi rawatan terhadap kecederaan yang ditanggung Nirmala. – MYNEWSHUB.CC

Oleh : IZZAT MOHD ANUAR

 

Loading...