SATU PERUBAHAN

Pakar Kimia

Pakar Kimia Tiba Di Douma Esok

in Terkini

THE HAGUE – Pakar senjata kimia dijangka tiba di Douma, Syria esok bagi menyiasat dakwaan serangan gas beracun, kata pihak berkuasa Russia, ketika Amerika Syarikat (AS) bimbang Moscow mungkin sudah “mengganggu” bukti di tapak.

Susulan serangan peluru berpandu hujung minggu lalu di Syria oleh AS, Perancis dan Britain, Russia yang saling menuduh dengan Barat, menolak kebimbangan AS itu sebagai “pembohongan terang-terangan”.

Ketua Pengarah OPCW, Ahmet Uzumcu, berkata sembilan anggota pasukan yang semuanya sukarelawan sudah tiba di Damsyik, namun setakat ini “pasukan itu belum dihantar ke Douma”, tempat kejadian dakwaan serangan gas klorin dan sarin pada 7 April lalu di mana 40 orang dikatakan maut.

Pihak berkuasa Syria dan Russia memberi amaran “isu keselamatan tertangguh perlu diselesaikan sebelum mana-mana penghantaran dibuat”.

Ketua unit perlindungan kimia, biologi dan radiologi Russia, Igor Kirillov memberitahu media, jalan menuju ke sana perlu dibersihkan daripada periuk api dan akan diuji perkhidmatan keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

“Pada Rabu kami merancang menerima ketibaan pakar OPCW,” katanya dalam sidang media di kedutaan Russia di sini.

Duta AS ke OPCW, Ken Ward bagaimanapun mendakwa, Russia sudah melawat tapak itu dan “mungkin mengganggunya dengan niat menghalang usaha misi pencarian fakta OPCW” namun ditolak Kremlin.

“Saya memberi jaminan, Russia tidak mengusik tapak itu,” kata Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov kepada BBC. – AFP/BH ONLINE

Terkini dari Terkini

Go to Top