Pemeriksaan Bersepadu Di ICQS Bukit Kayu Hitam

ALOR SETAR – Polis merancang untuk mewujudkan satu pemeriksaan secara bersepadu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam apabila ia mula beroperasi 24 jam kelak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata untuk itu, polis di negeri ini akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan bagi memperhalusi pelaksanaan rancangan berkenaan bagi memudahkan operasi ICQS pada 1 Jan 2019.

“Sebelum ini, orang ramai perlu melepasi pemeriksaan secara berlapis di ICQS yang mana mereka perlu melalui pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan polis. Ini menyebabkan timbulnya rasa ketidakselesaan kepada mereka.

“Melalui pemeriksaan bersepadu ini, orang ramai tidak perlu lagi menjalani pemeriksaan secara berlapis. Jadi, bagi memastikan perancangan ini dapat dilaksanakan Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff akan berjumpa dengan pihak yang berkepentingan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata sebanyak 79 daripada 149 permohonan perjawatan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk persediaan pembukaan operasi ICQS Bukit Kayu Hitam selama 24 jam telah diluluskan bagi fasa pertama.

Terdahulu, beliau menyampaikan amanat kepada warga polis negeri ini di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sempena siri jelajah sebelum persaraannya pada 5 Sept nanti.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata beliau bangga dengan pencapaian warga polis Kedah yang telah berjaya mencatatkan penurunan dalam keseluruhan indeks jenayah sebanyak 8.6 peratus bagi tempoh Januari hingga kini berbanding tahun lepas.

“Jenayah kekerasan telah turun sebanyak 36 peratus dan ini merupakan pencapaian yang tinggi dan penurunan ini merupakan hasil tindakan yang telah dibuat dalam membanteras jenayah gengsterisme melalui Op Cantas.

“Operasi telah dijalankan di seluruh Kedah khususnya di Sungai Petani dan kita akan membuat lebih banyak tangkapan terhadap individu yang terlibat dengan jenayah gengsterisme ini,” katanya.

Beliau berkata Kontinjen Kedah juga berada di landasan yang betul dalam memastikan keselamatan rakyat negeri ini keseluruhannya terjaga. – BERNAMA

Loading...