Selepas 10 Tahun SK St Martin Operasi Di Bangunan Sendiri

KOTA SAMARAHAN – Selepas 10 tahun menumpang, hari ini Sekolah Kebangsaan (SK) St Martin di sini memulakan sesi persekolahan 2017 di bangunan sendiri, sekali gus menceriakan murid dan guru sekolah itu.

Biarpun bangunan baharu yang terletak di Uni Central tersebut hanya disewa, perkara itu jelas tidak menjejaskan kelegaan 1,003 murid, merangkumi prasekolah hingga tahun enam, dan 41 guru kerana tidak perlu bersesak seperti dahulu.

Pada asalnya SK St Martin berstatus Sekolah Bantuan Kerajaan dan beroperasi di Kampung Merdang Gayam, namun bermula 2006 terpaksa menumpang di SK Jalan Muara Tuang selepas pemilik tanah mengambil balik tanah yang dijadikan tapak sekolah itu.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon berkata bermula tahun ini, SK St Martin diberi status Sekolah Kerajaan dan Kementerian Pendidikan telah meluluskan permohonan untuk menyewa bangunan baharu demi keselesaan pelajar dan tenaga kerja.

“Sewaan dijangka selama tiga tahun dan pada masa yang sama kita telah mengenal pasti tapak sebenar sekolah ini untuk pembinaan bangunan sendiri pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kementerian yang meluluskan ubah suai bangunan rumah kedai itu menjadi bangunan sementara sekolah.

Rakayah yang diiringi Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, Abdul Latip Bujang melakukan tinjauan di sekolah itu bagi melihat perjalanan hari pertama sesi persekolahan serta keperluan yang boleh ditambah baik.

Mengulas lanjut, Rakayah berkata berdasarkan maklum balas, rata-rata ibu bapa gembira dengan lokasi serta bangunan baharu itu walaupun penyelesaian tersebut bersifat sementara.

“Kita tahu pasti ada kekurangan namun insya-Allah, itu semua kita akan atasi,” katanya. – BERNAMA

Loading...