TalentCorp Terus Tingkat Kemahiran Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dan membantu mereka menjadi lebih tangkas seiring dengan perubahan landskap kerja.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata, adalah penting untuk mengambil kira yang lebih daripada separuh pekerjaan di Malaysia ketika ini mempunyai risiko untuk diautomasikan.

“Dengan adanya pelan Transformasi Nasional 2050 dan matlamat kita untuk Malaysia menjadi antara 20 negara teratas di dunia, kita perlu mempunyai modal insan yang berkemahiran tinggi.

“Ketika industri mengalami kesan distruptif digital, pekerjaan menjadi semakin tidak linear, dan kita perlu memastikan yang kita sudah cukup bersedia dan dapat menyesuaikan diri dengan peranan, peluang dan tuntutan baru tenaga kerja masa depan,” katanya sambil menambah, organisasi perlu memikirkan semula model perniagaan mereka dan melihat cara untuk mengekal dan membangunkan pekerja mereka.

Adalah juga penting untuk melihat fakta bahawa kita kehilangan separuh daripada tenaga kerja kita apabila wanita berhenti bekerja untuk sementara akibat komitmen keluarga dan ini memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Itulah sebabnya menggalakkan majikan untuk merekrut wanita yang berhenti bekerja untuk sementara waktu, adalah keutamaan untuk TalentCorp,” tambah Shareen.

Beliau juga berkata, institusi pendidikan dan pelajar adalah akar umbi tenaga kerja Malaysia dan kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting untuk dimainkan dalam menghasilkan modal insan berkualiti dan berpotensi tinggi.

“Kita perlu melihat pelbagai strategi dan inisiatif pada semua kumpulan bakat. Pelajar perlu melihat secara proaktif cara untuk membina kemahiran mereka untuk menjadi serba boleh.

“Sementara itu, institusi perlu mengkaji untuk mempelbagaikan kursus pengajian mereka sejajar dengan permintaan yang semakin berkembang di tempat kerja hari ini,” katanya.

Shareen juga berkata, institusi pendidikan perlu memastikan bahawa program mereka tidak condong kepada jenis pekerjaan tertentu kerana tugas itu mungkin tidak relevan dalam beberapa tahun akan datang. – BERNAMA

Loading...