Wakil Tetap Malaysia Ke PBB Serah Surat Pelantikan

KUALA LUMPUR – Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob menyerahkan surat pelantikan beliau kepada Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Rabu di Ibu Pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB berkata selepas menyerahkan surat pelantikan itu, Muhammad Shahrul Ikram dan Guterres mengadakan perbincangan ringkas berkaitan isu kepentingan bersama, termasuk usaha untuk mempertingkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan PBB.

“Semasa pertemuan itu, Muhammad Shahrul Ikram mengucapkan tahniah kepada Guterres atas pelantikannya sebagai Setiausaha Agung PBB pada 1 Jan 2017.

“Beliau turut menyatakan sokongan Malaysia kepada Guterres dalam usaha berterusan beliau untuk mempertingkatkan kerja-kerja PBB, terutamanya ke arah mengekalkan keamanan serta keselamatan antarabangsa,” menurut kenyataan yang diperoleh Bernama hari ini.

Muhammad Shahrul Ikram, 56, seorang diplomat kanan yang berkhidmat di Kementerian Luar sejak 1988, menerima surat pelantikan beliau daripada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada 25 Jan tahun ini.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Hal Ehwal Dua Hala sejak 2016. Beliau menyandang jawatan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia dari 2013 hingga 2016.

Beliau memegang beberapa jawatan utama di kementerian itu, termasuk Duta Malaysia ke Austria dari 2010 hingga 2013, duta ke Qatar (2007 hingga 2010) dan Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Vienna, Austria (2002 hingga 2005). – BERNAMA

Loading...