12 Tahun Terperap, ‘Dukun’ Ditayangkan 5 April

SETELAH ‘terperap’ selama hampir 12 tahun, filem yang diadaptasi daripada kisah Mona Fandey, Dukun akhirnya bakal ditayangkan di pawagam selepas ditangguhkan tayangan pada tahun 2007.

Berita ini nyata menggembirakan penggemar filem tempatan bergenre mistik setelah menanti terlalu lama untuk filem kontroversi yang bakal ditayangkan pada 5 April ini.

Bagi teraju utama filem berkenaan, Datin Paduka Umie Aida, beliau ternyata amat gembira dan selama ini tidak menyangka Dukun akhirnya akan ditayangkan bagi tontonan umum.

Jelas Umie, penantian 12 tahun ini sememangnya berbaloi meskipun sebelum ini menganggap filem tersebut sudah tidak ada harapan untuk ditayangkan.

“Saya dimaklumkan filem ini bakal ditayangkan seminggu lalu. Sejujurnya, saya tidak menjangka sama sekali apatah lagi filem ini sebelumnya diharamkan tayangannya pada Disember 2006.

“Malah, sewaktu kecoh filem ini bocor di internet bulan lalu, tidak ada sebarang maklumat mengatakan ia bakal ditayangkan. Lagi pula, apa yang berlaku daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak,” katanya memetik HMetro.

Filem yang telah menjalani penggambaran sejak tahun 2006 itu menyaksikan Umie membawa watak Diana Dahlan yang merupakan seorang pengamal ilmu hitam.

Ujarnya, dia sangat menghargai usaha pihak penerbit Astro Shaw yang telah lama berusaha memastikan filem arahan Dain Said itu dapat ditayangkan.

Namun, Umie mengaku berasa gementar menantikan maklum balas dari penonton filem tersebut kelak terutama melibatkan lakonannya membawa watak dukun itu.

 “Alhamdulillah, semua kerja keras pelakon dan kru berbaloi. Sekurang-kurangnya penonton boleh tengok usaha semua pihak dalam menghasilkan filem ini.

“Ia bukan kerja seorang dua, tapi semua yang terbabit. Sejujurnya, saya berasa gementar kerana selepas 12 tahun menunggu. Saya terima dengan terbuka setiap komen dan maklum balas diberikan.

Tambahya, kebanyakan babak dalam filem berkenaan yang pernah ‘bocor’ di Internet sekitar bulan lalu tidak terkandung dalam filem yang berdurasi 1 jam 35 minit itu.

Sementara itu, lapor Astro Awani,Dain bersyukur apabila mendapat tahu filem berkenaan akhirnya diluluskan tayangannya selepas 12 tahun ‘disimpan’.

 “Kerja keras yang dilakukan oleh peneraju utama dalam filem ini seperti Datin Paduka Umie Aida, Faizal Hussein, Bront Palare dan Namron akhirnya berbaloi kerana mereka telah berikan yang terbaik ketika penggambaran filem.

“Walaupun saya baru munggu lepas saya dapat tahu filem ini akan ditayangkan di pawagam, tetapi saya masih mahu berterima kasih kepada pihak penerbit, Astro Shaw atas usaha untuk tayangan Dukun,” ujarnya.

Tambahnya, tiada babak yang akan dipotong dan jalan cerita akan kekal sama seperti mana 12 tahun lalu sewaktu sesi penggambaran dijalankan.

Filem Dukun berkisarkan kes pembunuhan berprofil tinggi yang meilbatkan ahli politik, Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa mengamalkan ilmu hitam.

Disebabkan itu, filem tersebut diharamkan tayangannya oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) atas alasan jalan ceritanya menimbulkan kontroversi dan menyinggung perasaan keluarga terbabit.

Treler rasmi yang dimuat naik oleh Astro Shaw semalam (Ahad) kini telah disaksikan leboh 16,000 kali di laman YouTube oleh mereka yang nyata teruja untuk menyaksikan filem ini. –MYNEWSHUB.CC/EZ

Loading...