2 Orang Maut Terkena Peluru Sesat Di Pattani

PATTANI – Dua lelaki tempatan maut terkena peluru sesat dalam kejadian serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjata terhadap sebuah kereta dinaiki seorang sukarelawan keselamatan di daerah Khokpo, Pattani hari ini.

Kejadian berlaku pada 2.30 pagi (waktu tempatan) dan mereka yang terbunuh adalah penumpang kereta berusia 30 tahun dan penumpang sebuah teksi berusia 32 tahun.

“Serangan itu menyasarkan sukarelawan keselamatan, Muhammad Rari, berusia 42 tahun yang memandu kereta tetapi tembakan mengenai rakannya yang duduk di sebelahnya,” kata Ketua Siasatan Balai Polis Khokpo Kapt Sukwat Chaimanee hari ini.

Serangan itu menyebabkan kereta dipandu Muhammad tersasar dan melanggar sebuah teksi yang lalu di arah bertentangan.

Polis, menurut beliau, menemui mayat seorang lelaki di dalam teksi berkenaan dengan kesan tembakan di beberapa bahagian tubuhnya.

Menurut Sukwat, polis menemui puluhan kelongsong peluru berhampiran lokasi kejadian serangan dan meneruskan siasatan untuk mencari mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden keganasan itu. – BERNAMA

Loading...