Straight To the Point

2,400 Batang Balak Bernilai RM3 Juta Disita Di Bera

in Jenayah/Utama & Sensasi

BERA – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merampas 2,400 batang balak dianggar bernilai lebih RM3 juta yang dipercayai dibalak secara haram dari Hutan Simpan Chini dan Hutan Simpan Chini Tambahan pada Sabtu lepas.

Pengarah Negeri, Datuk Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata rampasan yang dilakukan melibatkan kayu balak bernilai tinggi iaitu daripada spesies kayu jenis meranti dan keruing dianggar seberat 2,500 tan.

“Serbuan dilakukan pada Sabtu lalu melibatkan 60 anggota Jabatan Perhutanan negeri setelah menerima maklumat daripada orang awam dan hasil serbuan kami menemui sembilan longgok kayu balak berkenaan di sekitar hutan simpan tersebut.



“Siasatan awal mendapati kumpulan ini telah memulakan operasi sejak awal Febuari berdasarkan kesan tunggul yang tinggal, serta getah.

“Berikutan itu jabatan ini telah menahan empat lelaki tempatan yang berumur 20-an hingga 60-an yang ketika itu sedang membawa keluar kayu belah,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di lokasi serbuan di sini.

Menurutnya kesemua mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 81 (1) (b) dan Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memiliki hasil hutan.

Dalam serbuan itu, katanya pihaknya juga turut merampas tiga buah jentolak serta dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori jenis Ford.

“Kami tidak akan berkomproni dengan penceroboh seperti ini yang nampaknya seperti sudah profesional kerana tempat diceroboh bukan sempadan tetapi hampir 4.5 kilometer dari tempat kelulusan yang diberi,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya Jabatan Perhutanan negeri akan menggunakan sebaiknya peruntukan sebanyak RM1 juta yang diberikan oleh kerajaan untuk memperkasakan lagi jabatan itu termasuk membeli dron serta kenderaan baharu bagi membanteras pembalakan haram.

“Kami juga akan teruskan usaha dan pemantauan berterusan menggunakan sistem ‘Forest Monitoring Using Remote Sensing’ (FMRS Plus) yang dibangunkan oleh Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia, untuk melihat setakat mana kerosakan telah dibuat,” tambahnya. – BERNAMA

*Video sekadar hiasan…

Loading...

Terkini dari Jenayah

Go to Top