Straight To the Point

Abdullah Babu: Cipta Rekod 10 RAMD

in Gaya Hidup/Utama & Sensasi

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

KAPTEN Abdullah Babu tidak menyangka perjalanannya dengan helikopter Alouette ke Kem Semantan melalui Matang-Sempadi bersama Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) Leftenan Kolonel Nawawi Mat Desa hari itu telah menemukan mereka dengan satu kawasan kebun yang agak aneh.

Baginya kedudukan kebun seluas 0.4 hektar itu agak janggal kerana ia terletak di tengah hutan dan diketahui tiada penempatan penduduk di sekitar situ.



“Itu siapa punya kebun sayur,’’ tiba-tiba sahaja terpacul solan dari mulut Nawawi yang turut hairan melihat kewujudan kebun berkenaan.

Bagaimanapun, Abdullah tidak terus menjawab kerana tidak tahu ia milik siapa. Hendak dikatakan ia kepunyaan orang Iban atau Dayak tidak mungkin kerana setahunya di situ tidak ada penempatan masyarakat pribumi tersebut.

Dalam cuba mencari jawapan, Abdullah kemudiannya terpandang empat lembaga manusia yang kelihatan cuba menyorok di celah-celah pokok di kebun itu. Tiga daripadanya berpakaian serba hijau manakala seorang lagi serba hitam.

Tingkah laku lembaga itu sedikit sebanyak mula mencurigakan biarpun mereka tidak bersenjata.

“Kalau mereka orang baik, kenapa perlu melarikan diri dan menyorok,’’ bisik hati anak kelahiran Yong Peng, Johor ini.

Ketika helikopter bergerak lebih hampir dengan kebun tersebut, Abdullah terpandang pula tiga buah khemah. Nawawi turut melihatnya. Mereka kemudian saling berpandangan. Timbul syak dihati Abdullah, ia mungkin milik anggota Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang sedang diburu mereka.

“Abdullah, saya tanya itu kebun siapa,’’ sekali lagi terkeluar pertanyaan daripada mulut Nawawi.

“Musuh tuan,’’ jawab Abdullah dengan pantas dan tanpa ragu.

“Beri saya 10 sebab kenapa awak kata ia milik musuh,’’ tanya Nawawi seolah-olah mahu menguji ketua kompeninya itu.

Selepas bersetuju dengan beberapa alasan yang diberikan Abdullah, Nawawi kemudiannya merancang agar dilakukan satu operasi khas di kawasan itu.

Tanggal 21 Mac 1979, satu gerakan mengepung , mencari dan memusnahkan musuh di Matang-Sempadi dikenali Ops Keris XI pun dilancarkan membabitkan empat kompeni.

Pada keesokkan paginya, tiga kompeni selaku kumpulan penyekat mula bergerak ke kedudukan masing-masing mengikut arah yang berlainan iaitu Bau, Situnggang dan Matang.

Ketika kompeni terbabit sedang bergerak ke kedudukan yang ditetapkan, Abdullah pula menghadapi masalah kerana anggota kompeni D yang dipimpinnya tidak cukup.

Ini kerana sebahagian besar daripada mereka tidak boleh meninggalkan Kem Semantan, Kem Lundu dan Kem Biawak yang merupakan kawasan operasi tetap mereka manakala anggota yang lain pula terlibat dengan latihan bola sepak dan hoki.

Setelah bertungkus lumus dan atas persetujuan Nawawi, Abdullah akhirnya berjaya mengumpulkan seramai 35 anggota dari platun campuran termasuk dari Platun UCIS. Majoriti daripada mereka ahli sukan yang amat jarang terlibat dengan operasi.

Sesudah itu, Abdullah kembali menuju ke arah wanita yang cedera tadi. Sebaik menjumpainya, dari jarak dekat, beliau lantas melepaskan beberapa das tembakan yang tepat mengenai belakang musuh. Namun ia tetap masih bernyawa.

Bagaimanapun, keadaan itu langsung tidak meresahkan Abdullah. Beliau percaya, semua anggota tentera adalah bagus dan terlatih biarpun mereka jarang memikul senjata.

Untuk memastikan semua anggotanya bersemangat, Abdullah berjanji akan memastikan mereka dinaikkan pangkat sekiranya berjaya membunuh musuh yang dicari.

Kem Musuh

Selepas segala persiapan diatur, tepat pukul 5 pagi 24 Mac 1979, pasukan Abdullah mula dimasukkan ke kawasan operasi. Menjelang pukul 7 pagi, pasukan itu berjaya sampai ke kedudukan Kompeni A.

Dari situ, Abdullah mula memecahkan anggotanya kepada beberapa kumpulan kecil untuk membuat rondaan walaupun Kompeni C belum tiba lagi ke kedudukan mereka.

Sasaran awal Abdullah ialah di tepi Sungai Pongeh kerana kem musuh yang dilihatnya dari udara beberapa hari lalu terletak di situ.

Sebaik tiba di sungai itu, gerakan mencari dilakukan lebih berhati-hati kerana percaya musuh sudah hampir dengan mereka.

Selepas 45 minit bergerak dari kawasan sungai tersebut, salah satu kumpulan ronda yang terdiri daripada empat anggota berpangkat prebet telah menemui khemah musuh.

Selepas dimaklumkan mengenai penemuan tersebut, Abdullah bersama 10 anggotanya yang lain bergerak ke tempat musuh bersama Bakar dan Ahmad. Setengah jam kemudian mereka tiba di sana.

Semasa sedang membuat tinjauan rapat, beliau ternampak tiga orang musuh sedang bekerja di kebun. Abdullah turut melihat tiga laras senjata disandarkan di sebatang tunggul kayu.

Selepas mengatur kedudukan anggotanya, tepat pukul 11.45 pagi mereka memulakan serangan ke kawasan kebun tersebut dari bawah bukit.

“Apa yang mengejutkan kami, sebaik tiba di atas bukit tempat musuh bekerja, ketiga-tiga musuh tadi telah tiada.

“Yang menanti hanyalah ranjau-ranjau yang amat berbahaya,’’ ujar Abdullah.

Waktu itu, hanya dua perkara yang terlintas dalam fikirannya. Sama ada kehadiran mereka telah dihidu musuh, ataupun musuh pulang ke khemah untuk makan tengah hari.

Ekoran itu Abdullah menukar rancangan untuk menyerang khemah musuh pula.

Pergerakan ke khemah musuh didahului oleh Sarjan Mohd. Zain Mohd. Noor dan diikuti anggota yang lain. Sewaktu sedang mendaki, tiba-tiba Mohd Zain dikejutkan dengan kemunculan seorang wanita yang sedang menuruni bukit untuk pergi ke kebun.

Melihat itu, beliau terus melepaskan tembakan semburan ke arah musuh yang turut terkejut dengan kehadiran anggota pasukan keselamatan.

Dalam kejadian berbalas tembak itu, sebutir peluru daripada senjata Mohd. Zain berjaya menembusi kepala wanita berkenaan.

Bagaimanapun, ia masih tidak mati dan mampu bergerak untuk melarikan diri sambil cuba dilindungi oleh tembakan daripada rakanrakanya yang lain.

Serentak dengan itu juga Abdullah dan Mohd. Zain bergerak pantas ke arah khemah untuk menewaskan musuh-musuh yang ada.

Satu ketika, Abdullah ternampak seorang musuh lelaki sedang menembak menggunakan senjata SLR ke arah Mohd. Zain. Tanpa membuang masa, Abdullah melepaskan sedas tembakan yang tepat mengenai perut musuh. Peluru itu kemudiannya menembusi dada kirinya, menyebabkan ia menemui ajalnya di situ juga.

Penggeledahan

Sesudah itu, Abdullah kembali menuju ke arah wanita yang cedera tadi. Sebaik menjumpainya, dari jarak dekat, beliau lantas melepaskan beberapa das tembakan yang tepat mengenai belakang musuh. Namun ia tetap masih bernyawa.

Lebih mengejutkan wanita berusia 19 tahun itu, mampu berjalan sejauh hampir 300 meter sambil memikul senjata sebelum tersungkur dan mati. Beberapa ketika kemudian, Abdullah terdengar pula bunyi suara musuh di atas bukit menjerit “chau! chau!” berulang kali.

Ia diikuti dengan bunyi beberapa tembakan dari arah yang sama. Berdasarkan bunyi tembakan yang saling berbalas, beliau percaya beberapa orang musuh yang cuba melarikan diri telah bertembung dengan salah satu pasukan penyekatnya.

Dalam pertempuran itu, beberapa orang musuh berjaya ditembak, namun sempat melarikan diri dan hilang di celah-celah pokok.

Apabila penggeledahan dilakukan, mereka menemui sepasang mayat musuh yang dikenali sebagai Lin Yuk Ping dan Cheng Sui Mei.

Turut ditemui ialah peralatan memasak, dua laras sub mesingan dan SLR, ubat-ubatan dan tempat simpanan makanan.

Esoknya, beberapa kawasan simpanan makanan lagi ditemui hasil penemuan sebuah peta milik musuh oleh Abdullah.

Bagaimanapun, hari ketiga iaitu 26 Mac 1979 bermula dengan penemuan sesuatu yang mengejutkan Prebet Ismail menemui satu mayat musuh yang telah berulat di celah batu di tepi sungai berhampiran tempat perkhemahan tersebut.

“Yang paling tidak disangka ialah kami telah minum air yang hulunya terdapat mayat manusia yang telah busuk,’’ katanya sambil memberitahu mayat itu ialah Yang Pik Mei yang lebih dikenali sebagai Man Mo.

Masuk hari keempat, barulah anggota pasukan tersebut dikeluarkan dengan helikopter. Tiba di Kem Semanggo mereka diarak dengan kuda dan disambut sebagai wira negara.

Kemudian enam orang yang terbabit dalam pertempuran termasuk Abdullah dianugerahkan Pisau Komando oleh Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd.Yusoff Din.

Hasil dari kejayaan itu juga, Abdullah, 53, yang kini Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat berpangkat Brigedier Jeneral dan Mohd. Zain telah dikurniakan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) pada 7 Jun 1981 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Empat yang lain iaitu Mokhtar, Bakar, Ahmad dan Hassan dikurniakan pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) dan dinaikkan pangkat kepada Lans Koperal.

Apabila PKKU yang diketuai oleh Chong Ah Wah menyerah diri pada 17 Oktober 1990, Abdullah mendapat tahu bahawa dalam pertempuran itu sebenarnya empat daripada tujuh pengganas yang berada di khemah tersebut telah terbunuh dan bukanya tiga.

Tetapi mayat salah seorang pengganas yang terbunuh telah sempat dibawa lari dan dikebumikan ditempat lain.

“Biarpun begitu, kejayaan mereka tetap tercacat sebagai kejayan terbesar 10 RAMD sehingga kini.” – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.

Loading...

Terkini dari Gaya Hidup

Go to Top