Academy Asia 3 Cari Peserta Dangdut Dari Malaysia

JIKA sebut saja Academy Asia pasti nama Shiha Zikir yang berlegar-legar di fikiran. Yalah, kan artis itu yang menang tempat ketiga pada musim pertama dulu.

Kini, sesi uji bakat pertandingan nyanyian dangdut itu giat dijalankan untuk musim ketiga tidak lama lagi.

Program yang bakal berlangsung di Indonesia pada Oktober nanti bakal menampilkan enam peserta terbaik yang dipilih menerusi beberapa saringan ujibakat di Malaysia.

Menurut Pengurus Besar Indosiar, Ekin Gabriel, hanya enam peserta daripada 24 peserta pada uji bakat saringan kedua ini untuk mewakili negara ini.

“Pada awalnya pihak kami menerima sebanyak 70 penyertaan dan memilih 30 peserta pada peringkat saringan ini. Namun hari ini hanya 24 peserta sahaja yang datang uji bakat.

“Kami mengutamakan mutu suara yang baik dan unik untuk menyanyikan lagu dangdut. Suara perlu berbeza agar dapat beri persaingan sengit kepada peserta lain,” katanya dipetik mStar Online.

Uji bakat saringan kedua yang diadakan di pejabat Pak Ngah Productions, Setapak, semalam menampilkan komposer Pak Ngah dan Zul 2 by 2 sebagai juri.

36 peserta masing-masing dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Timor Laste itu bakal berentap sesama mereka selama tiga bulan.

Enam peserta yang terpilih mewakili Malaysia bakal diberi latihan selama sebulan sebelum pertandingan bermula.

“Enam orang yang layak akan diberi latihan secukupnya untuk menyanyikan lagu-lagu dangdut dan Melayu asli sebelum mereka bertanding.

“Mereka juga perlu diberi semangat dan persediaan mental secukupnya agar tidak mudah putus asa kerana pertandingan di sana gak berbeza dengan program realiti di sini,” tambah Pak Ngah kepada mStar Online.

Nampak gayanya beberapa artis terkenal turut menyertai sesi uji bakat pada saringan kedua ini. Antara yang mencuba nasih ialah Wan (Forteen), Akma (Akademi Fantasia 3), Mohd (Mentor) dan Sarah Fazny.

Semoga Malaysia bakal menghantar enam peserta yang terbaik dari yang terbaik untuk pertandingan antarabangsa ini. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim

Loading...