Adiwiraku Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-29

KUALA LUMPUR – Adiwiraku melakar sejarah apabila dijulang sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Sabtu.

Filem berdasarkan kisah benar seorang guru di Kedah dan tanpa ada bintang komersial terbitan Sol Pictures Sdn. Bhd. itu bukan hanya merangkul trofi utama festival berkenaan, malah turut membawa pulang dua anugerah lain.

Karya arahan Eric Ong yang angkat kisah kekentalan guru Bahasa Inggeris itu menyaksikan Sangeeta Krishnasamy dinobat sebagai Pelakon Wanita Terbaik, selain Cerita Asal Terbaik dimenangi penerbit eksekutifnya, Jason Chong.

Ia bersaing dengan empat filem hebat lain iaitu Redha, Interchange, Hanyut dan Desolasi. Trofi disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang turut merasmikan malam kemuncak FFM29.

Turut hadir ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob. Trofi Pengarah Terbaik menjadi milik Dain Said untuk filem Interchange.

Seperti dijangka lakonan hebat Namron dalam filem Redha melayakkannya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Bintang berpengalaman itu ialah Pelakon Lelaki Terbaik kategori filem pada Anugerah Skrin 2016, menerusi filem sama.

Shaheizy Sam yang menunjukkan lakonan cemerlang dalam Interchange pula penerima trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, manakala Diana Danielle daripada filem Hanyut diumum Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Manakala untuk pemenang trofi Pelakon Lelaki dan Pelakon Wanita Harapan pula masing-masing rasmi menjadi milik John Tan menerusi filem You Mean The World To Me dan June Lojong melalui Redha.

Lakonan pelakon cilik, Harith Haziq, yang meninggalkan kesan dalam filem berkisar pada dunia kanak-kanak autistik, Redha, turut melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Malahan sutradara filem tersebut, Tunku Mona Riza, dipilih panel juri sebagai Pengarah Harapan. FFM29 turut mengiktiraf tiga filem berbeza iaitu Desolasi, Shuttle Life dan Pekak untuk Anugerah Khas Juri.

Penghormatan khas turut diberikan kepada pengarah dan produser tersohor tanah air, Datuk Yusof Haslam, yang diumumkan pihak penganjur untuk menerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman.

Mengangkat tema ‘Transformasi Citra Karya’, FFM29 menyaksikan 53 filem bertanding merebut 24 anugerah pada malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.

Ia menyaksikan artis serba boleh, Zizan Razak, bertindak sebagai hos utama, bergandingan dengan Siti Elizad, Elizabeth Tan dan Thanuja. Berikut senarai semua pemenang FFM29 mengikut kategori dipertandingkan:

1) Filem Terbaik: Adiwiraku
2) Pengarah Terbaik: Dain Said (Interchange)
3) Pelakon Lelaki Terbaik: Namron (Redha)
4) Pelakon Wanita Terbaik: Sangeeta Krishnasamy (Adiwiraku)
5) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam (Interchange)
6) Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Diana Danielle (Hanyut)
7) Pengarah Harapan: Tunku Mona Riza (Redha)
8) Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Harith Haziq (Redha)
9) Pelakon Wanita Harapan: June Lojong (Redha)
10) Pelakon Lelaki Harapan: John Tan (You Mean The World To Me)
11) Lakon Layar Terbaik: Saw Teong Hin (You Mean The World To Me)
12) Sinematografi Terbaik: Jordan Chiam (Interchange)
13) Cerita Asal Terbaik: Jason Chong (Adiwiraku)
14) Kostum & Busana Terbaik: Akma Suriati Awang (Hanyut)
15) Anugerah Khas Juri (Kesan Khas Visual): Desolasi (Skop Productions)
16) Anugerah Khas Juri (Kesedaran Sosial): Shuttle Life (MM2 Film Distribution)
17) Anugerah Khas Juri (Kupasan Isu Najis Dadah): Pekak (Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures)
18) Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman: Datuk Yusof Haslam
19) Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Johan Ibrahim
20) Filem Box Office: Abang Long Fadil 2 (Skop Production; Astro Shaw)
21) Penataan Bunyi Terbaik: Daniel (Hanyut)
22) Penataan Seni Terbaik: Zaharah Nakibullah (Interchange)
23) Suntingan Terbaik: Nazim Shah (J Revolusi)
24) Skor Muzik Terbaik: David Koon (You Mean The World To Me)

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...