Air Menitik Atas Pinggan Rupanya Dari Tikus Mati

JIJIK…kegembiraan sepasang kekasih yang sedang menikmati makan malam bersama, musnah selepas mendapati air yang menitik di atas pinggan mereka merupakan air dari bangkai tikus di atas siling.

Pengalaman meloyakan itu dialami oleh Yu, 28, dan kekasihnya ketika mereka sedang makan di sebuah restoran di Changsha, China.

Pasangan itu berada di Changsha atas urusan perniagaan.

Menurut Yu, 28, pada mulanya mereka menyangka air berkenaan adalah dari penghawa dingin namun mengejutkan kerana ia sebenarnya datang dari bangkai tikus.

“Apabila mendapati air menitik, kami mengadu kepada pelayan dan meminta mereka melihat apa yang berlaku.

“Akhirnya kami mendapati ada tikus mati dan air itu sama ada air liurnya atau sesuatu yang keluar dari mulut binatang itu,’’ kata Yu.

Pengurus restoran, Chen kemudiannya membawa pasangan itu ke hospital untuk ujian darah kerana bimbang mereka mengalami keracunan makanan.

Doktor tidak menemui sebarang petanda keracunan makanan tetapi meminta pasangan itu kembali semula ke hospital dalam masa seminggu untuk membuat pemeriksaan.

Susulan itu, Yu dan pasangannya telah melanjutkan masa selama tujuh hari lagi di Changsha dengan semua perbelanjaan tempat tinggal ditanggung oleh Chen.

Chen juga membayar pampasan untuk bayaran perubatan mereka.

Yu bagaimanapun telah membuat laporan kepada pihak berkuasa dan restoran tersebut diarahkan memastikan tahap kebersihan mereka mengikut syarat yang ditetapkan. – MYNEWSHUB.CC

Loading...